POLITIK

Pembangunan Bandar Pintar Paitan Agenda Utama Calon GRS Sugut

24/11/2025 09:14 AM

Oleh Suraidah Roslan

BELURAN, 24 Nov (Bernama) -- Pembangunan Bandar Pintar Paitan menjadi antara agenda utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut Datuk James Ratib.

James yang juga penyandang kerusi itu berkata pembangunan bandar berpusat berkenaan merangkumi pembinaan 200 buah rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), sebuah kompleks sukan bertaraf moden serta penempatan bangunan jabatan dan agensi kerajaan yang lebih terancang.

Beliau berkata inisiatif bandar pintar itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk terutamanya dalam meningkatkan taraf hidup dan merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

“Pelan pembangunan bandar moden ini akan dibangunkan dalam tempoh lima hingga 10 tahun oleh sebuah syarikat swasta serta telah mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah. Ia juga terkandung dalam manifesto saya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17," katanya kepada Bernama. 

Mengulas dakwaan pembangkang bahawa projek itu didirikan di atas tanah penduduk kampung, James berkata kawasan berkenaan sebenarnya adalah tanah milik Yayasan Sabah, iaitu sebuah agensi di bawah kerajaan negeri.

“Tidak benar. Tidak ada seinci pun melibatkan tanah penduduk kampung. Jadi, saya minta penduduk Paitan tidak terperdaya dengan fitnah yang dilontarkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata penaiktarafan Paitan sebagai daerah penuh sejak Mac telah mula memberi kesan positif terutama dalam menangani isu pendaftaran lewat sijil kelahiran disebabkan jarak perjalanan jauh ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Beluran atau Pitas.

“Penduduk perlu pergi mendaftar kelahiran anak di Pitas atau Beluran yang memerlukan masa empat hingga lima jam dengan kos RM400 hingga RM500 untuk setiap perjalanan,” katanya.

Beliau berkata dengan status daerah penuh, pejabat JPN kini beroperasi secara berkala dua kali seminggu di Paitan sementara menunggu pembinaan pejabat baharu.

Paitan terletak kira-kira 170 kilometer (km) dari pekan Beluran atau 216 km dari bandar Sandakan. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan 25 Nov bagi pengundian awal. 

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php 

 

N48: SUGUT: SABAH: 18,435

1. Rosely Lajun                                 (PIS)

2. Datuk Seri Dr Ronald Kiandee     (PN-Bersatu)

3. Roger Langgau                            (Bebas)

4. Aspah Abdullah Sani                    (Warisan)

5. Hassan Mentiak                           (PPRS)

6. Mohammad Arifin Pachuk            (BN-UMNO)

7. Datuk James Ratib                       (GRS-Gagasan Rakyat)

(2020: Datuk James Ratib: BN-UMNO: Maj: 1,664)

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan