KUALA TERENGGANU, 24 Nov (Bernama) -- Orang ramai diminta tidak panik berikutan kejadian pertembungan air sungai yang keruh dan air laut, seperti tular di media sosial beberapa hari kebelakangan ini.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu Osman Abdullah berkata kejadian itu ialah fenomena semula jadi yang berlaku apabila aliran air tawar yang membawa sedimen dari lembangan Sungai Telemong, Sungai Berang, Sungai Tersat, Sungai Nerus dan Sungai Tok Jiring mengalir keluar ke laut melalui Sungai Terengganu.
Beliau berkata warna air yang berbeza dan berlapis adalah kesan daripada kelodak serta peningkatan kadar aliran sungai selepas hujan lebat di kawasan hulu.
"Fenomena ini tidak menandakan ancaman segera namun menjadi petunjuk bahawa sistem sungai sedang menanggung beban aliran lebih tinggi daripada biasa.
“JPS ingin menegaskan bahawa masyarakat tidak perlu panik. Pemantauan rapi sedang dijalankan melalui rangkaian stesen telemetri, rondaan lapangan serta kerjasama dengan agensi lain,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Osman berkata walaupun beberapa kawasan rendah seperti Kampung Pulau Rusa dan Losong pernah terjejas akibat hujan lebat dan air pasang besar namun langkah mitigasi dan amaran awal akan dikeluarkan sekiranya situasi berisiko.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar lebih berwaspada dan merujuk maklumat dengan pihak berautoriti bagi mengelak penyebaran maklumat tidak sahih.
Katanya, JPS akan terus memastikan keselamatan masyarakat dengan memaklumkan perkembangan bencana dengan segera dari semasa ke semasa.
Sebelum ini tular di media sosial, seorang pemilik akaun Facebook mendakwa pertembungan air sungai yang keruh dan air laut dijangka memberi risiko besar kepada penghuni di sepanjang laluan sungai sekiranya berlaku air pasang dan hujan lebat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial