MELAKA, 24 Nov (Bernama) -- Seorang buruh yang melarikan sebentuk cincin dan loket emas selepas berpura-pura ingin membeli barang kemas itu di sebuah kedai emas di Taman Rambai Jaya di sini pada Jumaat, berjaya diberkas semalam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata lelaki berusia 34 tahun itu ditahan dalam Op Pintu Khas di sebuah hotel di Melaka Raya pada 6.30 petang semalam.
"Suspek dilaporkan datang ke kedai emas berkenaan pada 5.04 petang, 21 Nov lepas pada mulanya untuk membeli rantai leher namun lelaki berkenaan memilih sebentuk cincin seberat 1.17 gram berharga RM680 dan loket emas seberat 2.3 gram berharga RM1,300.
"Suspek bagaimanapun memaklumkan akan datang semula ke kedai itu pada 6.50 petang hari sama untuk membuat pembayaran sebelum melarikan barang kemas berkenaan ketika meminta melihat semula barangan itu," katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata polis turut menemukan wang tunai berjumlah RM1,050 dipercayai sebahagian hasil jualan barang kemas curi itu yang didakwa dijual kepada seorang wanita yang merupakan 'ulat emas' di Facebook.
Katanya lelaki itu yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau serta negatif dadah, ditahan empat hari bermula hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial