Kelapa dan Bagan Datuk berpisah tiada sehingga dikatakan tidak lengkap kunjungan ke daerah ini jika tidak menikmati air kelapa muda hasil buminya, yang menurut penggemar mempunyai rasa lebih manis berbanding kelapa muda di tempat lain.
Menjadi tanaman komoditi utama penduduknya sejak ratusan tahun, Bagan Datuk pernah muncul di peta dunia sebagai antara pengeluar kelapa terpenting dari penghujung abad ke-19 hingga pertengahan abad ke-20. Petempatan asal dibangunkan di muara Sungai Perak, tanah endapan berserta iklim tropika menjadikan kawasan ini amat sesuai dengan tanaman kelapa atau nama saintifiknya Cocos nucifera.
Faktor itu juga menjadikan kelapa atau nyiur yang ditanam di sini mempunyai isi tebal dan santan lebih pekat. Malah, kelapa di Bagan Datuk merupakan tanaman komoditi kedua yang dikeluarkan oleh Perak selepas padi.
Berdasarkan data terkini Jabatan Pertanian Negeri Perak, Bagan Datuk menyumbang hampir 90 peratus pengeluaran kelapa di Perak, atau 12 peratus kepada pengeluaran kelapa Malaysia, meletakkan negeri itu sebagai pengeluar ketiga terbesar di Malaysia selepas Selangor dan Johor.
Boleh dikatakan tanaman ini diusahakan oleh rata-rata penduduk, sama ada ditanam secara kecil-kecilan berhampiran rumah atau komersial dengan pilihan jenis hibrid kelapa MATAG dan Malayan Tall.
SANTAN & AIR KELAPA MUDA
Pekebun yang juga pemborong kelapa Abdul Aziz Mokhtar, 50, berkata MATAG biasanya ditanam untuk air kelapa muda dan juga santan, sementara Malayan Tall lebih kepada pengeluaran santan.
“Ada antara pekebun kecil yang menanam kelapa tua, ataupun orang panggil kelapa kampung, Malayan Tall dengan pengeluaran separuh-separuh, iaitu separuh tua dan separuh lagi kelapa muda juga untuk penghasilan santan, berbanding air kelapa.
pic-2
“Manakala MATAG F1 ini pula agak baru diusahakan oleh pekebun, lebih kurang dalam lima hingga enam tahun lepas, sebagai satu usaha Jabatan Pertanian untuk meningkatkan kualiti dan hasil tanaman pekebun di sini,” katanya.
Beliau turut menjelaskan pokok kelapa varieti Malayan Tall tahan lama dengan hasil yang stabil, sementara MATAG cepat tumbuh, hasil tinggi dan pokok lebih rendah.
“Pokok MATAG ditanam lebih padat, sekitar 70 pokok seekar (0.4 hektar) berbanding 60 pokok bagi Malayan Tall, dengan jarak tanam yang lebih rapat kerana saiz pokok lebih rendah dan daun yang tidak terlalu melebar,” katanya.
Berpengalaman lebih dua dekad dalam penanaman kelapa, Abdul Aziz berkata penyelidikan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyaksikan pewujudan varieti kelapa dengan hasil tinggi.
“Kalau saya tengok memang amat berbeza sekarang, kerana dulu kita hanya ada baka...orang kata baka kelapa kampung atau Malayan Tall. Sekarang, dalam 10 tahun ini, kita ada varieti-varieti baharu seperti Pandan, MATAG F1, SGG dan lain-lain.
“Kelebihan varieti-varieti baharu ini ialah cepat membesar dan cepat mengeluarkan hasil, iaitu dalam tiga ke tiga tahun setengah dah boleh pungut hasil berbanding dengan Malayan Tall Malaysia ataupun kelapa kampung itu tadi... tujuh ke lapan tahun baru mula berbuah, jadi tidak komersial untuk masa ini,” katanya.
Pada Ogos lalu, MARDI mengumumkan ia telah menghasilkan empat varieti hibrid baharu, iaitu Mylag, Marleca, Careca dan Careni yang mampu menjana hasil tinggi dengan kapasiti pengeluaran 25,000 biji setahun untuk sehektar.
PULANGAN LUMAYAN, POTENSI EKONOMI TINGGI
Dari segi pendapatan pula, Abdul Aziz berkata hal itu bergantung pada varieti kelapa dan keluasan kebun masing-masing dengan ada yang meraih hasil seawal tiga ke empat tahun selepas penanaman.
Bagaimanapun secara purata, seorang pekebun mampu meraih sekurang-kurangnya RM2,000 ke RM2,500 sebulan bagi tanaman seluas dua hektar.
pic-3
“Ini kalau kita ambil purata harga kelapa RM1 sebiji,” ujarnya.
Menurutnya, selain dijual segar atau sebagai santan, ada pekebun yang menggunakan hasil kelapa mereka untuk mengeluarkan produk lain seperti kerisik, minyak kelapa dara dan lain-lain.
Malah kata Abdul Aziz, berdasarkan pengalamannya yang banyak menghadiri seminar dan bengkel termasuk melibatkan usahawan asing, Malaysia berpotensi menjadi pengeksport kelapa sekiranya pengeluaran komoditi itu dapat distabilkan secara berterusan.
“China tunjuk minat import kelapa dari Malaysia, namun pengeluaran tempatan yang tidak stabil jadi penghalang utama untuk memenuhi permintaan besar dan berterusan sebab kita terikat dengan kontrak. Sekiranya pihak mereka mahu sejuta buah tapi kita tak mampu, (maka) akan menjadi masalah.
“Saya percaya, sekiranya beberapa masalah penanaman kelapa diatasi kita mampu mengeksport ke luar negara, seterusnya menjadikan Bagan Datuk ini pengeluar utama komoditi dan memberi impak ekonomi yang besar kepada penduduk kampung,” katanya yang pernah menyertai lawatan bersama-sama dengan wakil pengimport dari China.
PELUANG PEKERJAAN PETANI MUDA
Dalam keadaan dunia pekerjaan yang tidak menentu di bandar, semakin ramai anak muda memilih untuk kembali ke kampung dan menceburi bidang pertanian termasuk mengusahakan tanaman kelapa yang dilihat berpotensi menjana pendapatan tetap.
Keputusan sama diambil oleh Syamsul Bahri Imam, 38 yang berkemahiran dalam bidang penyelenggaraan bangunan.
pic-4
Lelaki ini kembali ke kampung halamannya di daerah ini bagi meneruskan usaha arwah bapanya sebagai pekebun kelapa.
“Saya ambil alih sebab ketika itu ayah tidak sihat dan saya teruskan usahanya selepas ayah meninggal dunia.
“Kalau anak muda ada tanah sendiri, dua atau tiga ekar pun cukup untuk dijadikan pendapatan sampingan. Kalau dijaga betul, seekar boleh hasilkan 800 biji kelapa muda sebulan dengan harga RM1 sebiji boleh dapat sekitar RM800 seekar,” katanya.
Malah, katanya, menjadi trend anak muda di daerah itu terlibat dalam penanaman kelapa sama ada berkebun sendiri atau menjaga kebun keluarga atau saudara mara, sekalipun mempunyai kerja tetap.
“Dulu orang fikir (berkebun) kelapa ini kerja orang tua, tapi sekarang anak muda pun dah mula minat. Ada yang sambung usaha bapa, ada juga yang mula dari kosong (awal). Kawan-kawan saya pun ramai dah balik kampung.
“Di bandar, gaji RM3,000 pun tak cukup, tapi kalau di kampung RM2,500 pun dah cukup untuk hidup, ada rumah sendiri, makan senang. Lagi pula sekarang banyak bantuan baja, racun dan input lain daripada kerajaan,” katanya, menambah ancaman binatang seperti monyet antara cabaran yang perlu dihadapinya sebagai pekebun kelapa.
KOMITMEN KERAJAAN BANTU PEKEBUN
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perak Norsiyenti Othman berkata kerajaan negeri dan pusat menyuntik beberapa peruntukan bersasar seperti Program Tanam Baharu atau Program Pemulihan bagi membantu pekebun kelapa.
“Bagi memperkukuh hala tuju industri kelapa, Jabatan Pertanian Negeri Perak telah menerima peruntukan berjumlah RM1.26 juta daripada kerajaan negeri dan persekutuan. Peruntukan ini bagi melaksanakan pelbagai program termasuk pembangunan pertanian, kursus serta latihan dan juga program Industri Asas Tani.
“Daerah Bagan Datuk kekal sebagai penyumbang utama kelapa dengan pengeluaran tertinggi iaitu 80,029 tan metrik diikuti Manjung 4,192 dan Kinta 1,718,” katanya.
(Jabatan Pertanian Negeri Perak menetapkan setiap daerah mempunyai fokus tanaman tersendiri dan tiga daerah ini dipilih sebagai pengeluar kelapa.)
Norsiyenti berkata industri kelapa di Perak terus mencatatkan perkembangan positif dengan pencapaian Kadar Sara Diri (SSR) 141 peratus dan peningkatan hasil pengeluaran pada 2024 sebanyak 89,978 tan metrik melibatkan kawasan seluas 7,478 hektar berbanding 2023, berikutan program penanaman semula dan pemulihan yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri.
Katanya di bawah program pembangunan industri kelapa, terdapat dua subprogram, iaitu insentif tanaman baharu dan tanam semula serta pertambahan kawasan, dan insentif pemulihan ladang di mana tumpuan diberikan kepada projek sedia ada yang telah bertanam.
Beliau berkata menerusi insentif berkenaan, skop pembangunan bagi subprogram ini merangkumi pelaksanaan beberapa aktiviti utama, iaitu pembersihan serta penyediaan kawasan seperti kerja-kerja menebang dan meracik pokok tua, membaris, melubang tanaman serta pemasangan pagar.
“Selain itu, peserta program juga menerima insentif seperti sistem pengairan, saliran, perparitan, pembinaan pembentung, jalan ladang dan papan tanda projek. Program ini juga membekalkan input pertanian meliputi baja, racun, peralatan ladang dan anak pokok kelapa daripada benih yang sah dan berkualiti,” katanya.
Sementara itu, bagi Program Pemulihan Projek Sedia Ada atau Pemulihan Ladang, peserta menerima insentif dalam bentuk input pertanian yang sama, iaitu baja, racun, peralatan ladang dan anak pokok kelapa berkualiti bagi meningkatkan semula produktiviti ladang mereka.
“Untuk 2024, jumlah keseluruhan keluasan yang terlibat di bawah kedua-dua program ini ialah 61.01 hektar dengan 40 orang penerima manfaat yang telah berjaya menghasilkan 420 tan metrik dengan nilai RM546,000,” katanya.
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial