EKONOMI

Untung Bersih Allianz Malaysia’ Pada Suku Ketiga Naik Kepada RM234.17 Juta

25/11/2025 09:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Allianz Malaysia Bhd mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi iaitu kepada RM234.17 juta pada suku ketiga yang berakhir 30 Sept, 2025, meningkat daripada RM183.18 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Perolehan kumpulan meningkat kepada RM1.58 bilion daripada RM1.44 bilion, kata syarikat insurans itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Allianz Malaysia berkata perolehan insurans menokok 10 peratus atau RM143.9 juta kepada RM1.58 bilion pada suku ketiga 2025, dipacu oleh sumbangan yang lebih tinggi daripada kedua-dua segmen insurans.

Segmen insurans amnya mencatatkan perolehan insurans sebanyak RM911.9 juta, berkembang 10.3 peratus atau RM85 juta daripada RM826.9 juta tahun sebelumnya disokong terutamanya oleh premium kasar yang lebih tinggi daripada perniagaan motor.

Segmen insurans hayat pula merekodkan perolehan insurans sebanyak RM672.5 juta, bertambah 9.6 peratus atau RM58.9 juta daripada RM613.6 juta tahun sebelumnya, mencerminkan perlindungan berasaskan pelaburan dan perniagaan faedah pekerja yang lebih kukuh.

Bagi tempoh sembilan bulan pertama, keuntungan bersih kumpulan berkembang kepada RM661.25 juta daripada RM540.02 juta manakala perolehan melonjak kepada RM4.63 bilion daripada RM4.15 bilion.

Mengenai prospek, Allianz Malaysia berkata ia menyasarkan untuk memacu pertumbuhan melalui pengembangan agensi, mempertingkatkan pengambilan dan mempercepatkan penerimaan digital dalam kalangan ejen.

"Kami memberi tumpuan kepada kecemerlangan taja jamin dengan mengoptimumkan campuran produk kami dan menggunakan ketepatan teknikal.

"Selain itu, kami melaksanakan pengurusan tuntutan yang berdisiplin dan langkah-langkah kawalan kos bagi menangani inflasi perubatan," katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutifnya Sean Wang berkata kumpulan berharap dapat menamatkan tahun ini dengan pencapaian yang kukuh.

Katanya, kumpulan mahu memberi tumpuan kepada pertumbuhan pintar dan lestari, produktiviti yang lebih tinggi dan perkhidmatan yang dipertingkatkan sebagai rakan yang dipercayai dalam melindungi selain mengembangkan aset paling berharga pelanggan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan