AM

Tanah Kerajaan Sekitar Kota Kinabalu Akan Dijadikan Rizab Kampung - Hajiji

27/11/2025 12:28 AM

KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah memutuskan untuk menjadikan tanah kerajaan di sekitar bandar raya ini khususnya di kawasan Darau dan Karambunai dijadikan sebagai rizab kampung, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata tanah berkenaan akan diwartakan sebagai perkampungan untuk rakyat tempatan yang kini tinggal di kawasan setinggan.

“Kita sudah putuskan perkara ini sebelum ini dalam Jemaah Menteri. Kita tahu, banyak kawasan rumah setinggan yang dihuni rakyat tempatan… oleh itu, kita akan jadikan tanah kerajaan itu sebagai rizab perkampungan.

“Jika perkampungan itu telah diwartakan, maka penduduk tidak perlu risau untuk dihalau atau dipindahkan,” katanya berucap pada majlis Kempen Rumah Kita, Kita Jaga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kampung Darau di sini malam ini.

Turut hadir calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi dan calon GRS DUN Karambunai Datuk Arshad Idris.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata Jabatan Tanah dan Ukur sedang menjalankan kerja-kerja penyukatan tanah yang telah dikenal pasti.

“Kita juga merancang membina lebih banyak perumahan untuk rakyat khususnya di kawasan pinggir bandar seperti Karambunai dan Darau,” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata untuk memastikan perancangan berkenaan berjalan lancar, pengundi di kawasan Karambunai dan Darau perlu memenangkan calon GRS.

“Pada 29 Nov ini (Sabtu) jangan lupa undi calon GRS agar kita boleh kembali menjadi kerajaan dan dapat meneruskan semua usaha kita untuk membangunkan Sabah untuk rakyat,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 pada Sabtu ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan