KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor meminta Sabah Law Society (SLS) mengemukakan input untuk mengukuhkan tuntutan Sabah terhadap geran khas 40 peratus daripada kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata input SLS yang akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri itu amat penting bagi memperkukuh rangka kerja yang menjadi asas perbincangan berterusan Sabah dengan kerajaan Persekutuan
“Dalam pertemuan dengan SLS, saya mendengar pandangan dan cadangan mereka. Saya telah meminta mereka menyediakan input terperinci dan mengemukakannya kepada Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan Negeri untuk terus mengukuhkan tuntutan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan itu susulan pertemuan antara Hajiji dan Presiden SLS Datuk Mohamed Nazim Maduarin serta bekas presidennya Datuk Roger Chin di kediaman Ketua Menteri di sini semalam.
Permintaan Ketua Menteri itu adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Okt lepas yang mengarahkan kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dalam tempoh 90 hari berhubung geran perlembagaan berkenaan.
Selain geran khas 40 peratus itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahu SLS menjadi sebahagian daripada pasukan yang menggubal kerangka Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (SSWF), termasuk penyediaan deraf enakmennya.
Penubuhan dana pertama SSWF ini, antara ikrar teras dalam manifesto pilihan raya GRS yang dilancarkan pada 17 Nov bertujuan meningkatkan hasil tahunan negeri kepada RM10 bilion menjelang 2030.
Modal permulaan SSWF akan diambil daripada sebahagian rizab negeri Sabah bagi menjamin kestabilan kewangan jangka panjang untuk generasi akan datang,
Satu peratusan tetap daripada geran khas 40 peratus Sabah daripada Putrajaya akan turut disalurkan ke dalam dana berkenaan setiap tahun.
Ketua Menteri berkata selain wakil kerajaan, pasukan SSWF juga akan melibatkan golongan profesional serta pakar dalam bidang pelaburan, kewangan dan perundangan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial