KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Pembangunan negara ini, khususbya fasiliti kesihatan perlu dirangka supaya geriatric-ready atau bersesuaian dengan keperluan warga emas, sebagai persediaan negara menuju status negara tua menjelang 2030, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata keperluan ini dilaksanakan melalui perancangan bersama kementerian berkaitan bagi memastikan ruang riadah, kemudahan awam dan reka bentuk fasiliti selaras dengan keperluan penduduk yang semakin berusia.
“Kita tidak dapat melaksanakan polisi dan dasar ini secara bersendirian. Oleh itu, perancangan dilakukan bersama kementerian berkaitan untuk memastikan setiap pembangunan menyediakan ruang riadah yang bersesuaian.
“Begitu juga di pusat beli-belah, di mana kita menggalakkan pihak pengurusan menggunakan ruang sedia ada sebagai lokasi shopping and healthy,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai keberkesanan kempen kesihatan, yang tidak boleh digalas oleh kementerian sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama sektor awam dan swasta melalui konsep hall of nation.
Menjawab soalan asal Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) mengenai strategi menghadapi negara menua menjelang 2030, Lukanisman berkata Kementerian Kesihatan (KKM) memperkukuh Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas untuk membantu golongan ini mencapai tahap kesihatan optimum melalui perkhidmatan menyeluruh dan bersepadu.
Beliau berkata Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 turut dilaksanakan bagi memperkukuh penjagaan berasaskan patient-centered care, termasuk promosi kesihatan, saringan, rawatan, rujukan, kaunseling, lawatan ke rumah, rehabilitasi, serta aktiviti kelab warga emas di 1,103 klinik kesihatan. Selain itu, 42 pakar geriatrik ditempatkan di 21 hospital kerajaan.
Pada masa sama, laporan Universiti Stanford 2022 menunjukkan Malaysia berada dalam kelompok negara dengan tahap aktiviti fizikal harian rendah.
Sehubungan itu, KKM melaksanakan inisiatif pembudayaan hidup sihat di bawah Agenda Nasional Malaysia Sihat, termasuk kempen berjalan 10,000 langkah sehari, penyediaan garis panduan gaya hidup aktif untuk penjawat awam, pembudayaan sukan di tempat kerja, serta perangkaan National Strategic Plan for Active Living 2026-2030.
Menjawab soalan tambahan Zahir mengenai keberkesanan kempen penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, Lukanisman berkata pelbagai inisiatif seperti Perang Terhadap Gula dilaksanakan bagi mengingatkan masyarakat menurunkan pengambilan gula.
Beliau menambah, sebahagian hasil cukai minuman manis juga dikembalikan kepada KKM untuk membeli ubat berkaitan, berjumlah RM25 juta, bagi rawatan diabetes.
“Kita berharap mendapat sokongan semua pihak, terutama wakil rakyat dan agensi kementerian, supaya KKM tidak bergerak secara bersendirian dalam melaksanakan kempen perang gula ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial