KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Usaha kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand susulan banjir serta status terkini bencana itu di negara ini antara perkara dibincangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Wong Shu Qi (PH-Kluang) bertanyakan Menteri Luar mengenai usaha segera kerajaan untuk membantu rakyat Malaysia yang terkandas di selatan Thailand susulan banjir serta langkah-langkah pencegahan bagi memastikan rakyat Malaysia tidak menghadapi situasi sama pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.
Pada sesi sama, Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) bertanyakan Perdana Menteri mengenai status terkini situasi banjir di setiap negeri serta langkah kesiapsiagaan kerajaan bagi menghadapi musim tengkujuh kali ini.
Lim Lip Eng (PH-Kepong) pula bertanyakan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berhubung langkah segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan pihak berkuasa bagi mengekang pembukaan akaun tanpa pengetahuan pemilik oleh orang dalam untuk tujuan kecurian elektrik serta jaminan pemilik tidak dipertanggungjawabkan ke atas bil atau hutang yang terhasil.
Pada sesi soal jawab lisan, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) bertanyakan Menteri Kewangan sama ada kerajaan bercadang menambah atau memperbaharui dana skim mySalam selepas sumbangan RM2 bilion yang diterima pada 2019 semakin menyusut.
Beliau juga ingin tahu pelan jangka panjang dalam menjamin kesinambungan perlindungan kesihatan B40 termasuk integrasi dengan Skim Perubatan MADANI.
Turut menarik perhatian, soalan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) kepada Menteri Komunikasi berhubung nilai tambah Sistem Komunikasi Radio dan Internet Bersepadu Bergerak (PRIME) berbanding aset komunikasi sedia ada yang dimiliki oleh pelbagai agensi keselamatan bencana dan sejauh mana PRIME telah diuji dalam simulasi kecemasan berskala besar.
Usai sesi itu, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial