AM

MBI Gerak Operasi Menyeluruh Bantu Mangsa Banjir Di Manjoi Dan Sekitar Ipoh

18/02/2026 09:50 PM

IPOH, 18 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Perak, melalui Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), telah menggerakkan operasi menyeluruh bagi membantu mangsa banjir di Manjoi dan sekitar bandar raya ini sejak beberapa hari lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak Sandrea Ng Shy Ching berkata MBI sentiasa siap siaga dalam mendepani sebarang bencana selain mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk yang terjejas.

“Antara tindakan awal yang dilaksanakan ialah penutupan jalan di kawasan terlibat, operasi pembersihan serta pengalihan pokok tumbang, kerja-kerja pembersihan dahan dan sisa pokok yang menghalang laluan awam serta pengurusan sisa bencana secara berperingkat.

“MBI turut menjalankan semakan di kawasan banjir kilat melibatkan sistem jalan, parit dan saliran di bawah seliaan majlis selain menangani halangan jalan seperti zink tercabut dan objek yang mengganggu laluan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi itu melibatkan beberapa jabatan dan pasukan lapangan MBI dengan kekuatan keseluruhan lebih 70 anggota selain pelbagai aset logistik termasuk lori terbuka, kenderaan pacuan empat roda, pengorek-kaut dan jentolak.

"Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBI memberi tumpuan kepada penutupan jalan dan kawalan kawasan bencana manakala Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Bandar melaksanakan kutipan sisa banjir serta barangan rosak secara berperingkat.

"... Jabatan Kejuruteraan Awam bersama pasukan depoh pula menjalankan kerja pembersihan halangan jalan dan tindakan susulan sementara Jabatan Taman dan Landskap menggerakkan pasukan utama serta dua pasukan kecil bagi kerja pembersihan pokok besar, dahan dan sisa pokok termasuk operasi pada waktu malam," katanya.

Ng berkata antara lokasi terlibat ialah Jalan Perpaduan dan sekitar Sungai Rokam, Jalan Istana berhampiran Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Villa Perpaduan (belakang Petron Bercham Raya), Laluan Niaga Simee 1, Lebuh Sungai Senam serta beberapa kawasan lain termasuk Pakatan Jaya, Taman Bintang, Gerbang Meru Indah, Jalan Simee 5, Jalan Dato’ Haji Megat Khas, UK Raya, Stadium Perak dan Taman Star.

"Pengurusan bencana diselaraskan oleh Pejabat Tanah dan Daerah melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dengan MBI bertindak sebagai ahli jawatankuasa serta melaksanakan tanggungjawab sebagai pihak berkuasa tempatan.

"Operasi itu turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya," katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri akan terus memantau situasi semasa dan memastikan segala bantuan serta tindakan susulan segera dilaksanakan serta berkesan demi kepentingan rakyat. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan