JOHOR BAHRU, 27 Nov (Bernama) -- Pelebaran Lebuh Raya Utara-Selatan bagi laluan Yong Peng Utara-Senai Utara (Fasa 4: Machap-Ayer Hitam), merupakan antara projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan peruntukan RM210 juta.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menzahirkan penghargaan kepada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan seluruh warga Kementerian Kerja Raya (KKR), atas keprihatinan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan infrastruktur di Johor.
“Perjumpaan ini juga terus membuka ruang kepada kerjasama strategik yang lebih erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam pelaksanaan projek naik taraf dan penyelenggaraan jalan Persekutuan, pembangunan infrastruktur penting serta peningkatan kemudahan asas yang memberi manfaat langsung kepada lebih 4 juta rakyat Johor.
“Selain itu, pihak KKR turut menyatakan kesediaan mereka untuk terus menyokong agenda pembangunan negeri, termasuk usaha menaik taraf jalan raya, memperkukuh penyelenggaraan aset kritikal dan memastikan kelancaran sistem perhubungan serta keselamatan pengguna di seluruh negeri,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Pertemuan itu berlangsung pada hari Selasa lepas di pejabat KKR, Kuala Lumpur.
Onn Hafiz berkata kerjasama erat itu turut menjadi asas penting terhadap pelaksanaan projek yang tersusun, pantas dan berimpak tinggi agar setiap sen yang dibelanjakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.
“Semoga segala komitmen dan hasil perbincangan ini dapat diterjemahkan kepada tindakan yang cekap dan berkesan demi kemakmuran dan kesejahteraan Bangsa Johor, insya-Allah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial