AM

Struktur Sementara Paling Berisiko Akibat Ribut Tropika Senyar - Ahli Akademik

28/11/2025 09:15 AM

KUANTAN, 28 Nov (Bernama) -- Kesan angin Ribut Tropika Senyar yang dijangka melanda Semenanjung Malaysia, berpotensi mengancam struktur bangunan tidak kukuh terutama struktur sementara, kata Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Dr Noram Irwan Ramli.

Beliau berkata berdasarkan jangkaan kelajuan angin sekitar 50 kilometer sejam (km/j), ia dikategorikan sebagai angin kencang yang boleh memberi ancaman kepada struktur tertentu, namun masih belum mampu merosakkan struktur kukuh yang dibina mengikut prinsip kejuruteraan.

“Antara paling berisiko ialah struktur sementara seperti khemah, kanopi, gerai pasar malam, stor ringan dan bumbung tambahan, selain objek ringan seperti kepingan zink lama, papan tanda longgar, plastik, kayu kecil serta peralatan luar rumah yang mudah tercabut dan menjadi serpihan berbahaya,” katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata bangunan lama tidak diselenggara dengan baik serta pokok besar yang uzur atau lemah, turut dikenal pasti sebagai antara risiko utama kerana boleh tumbang, menghempap kenderaan dan menghalang laluan.

Bagaimanapun, Noram Irwan berkata rumah batu, rumah teres dan bangunan konkrit yang mempunyai sambungan bumbung betul serta dinding galas beban mencukupi berada pada tahap risiko kerosakan yang rendah.

Mengulas tahap kesiapsiagaan masyarakat, Noram Irwan berkata Malaysia jarang berdepan ribut tropika menyebabkan tahap pendedahan dan persediaan masih rendah berbanding negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Vietnam yang lebih berpengalaman menghadapinya setiap tahun.

“Dalam situasi ini, tahap kesiapsiagaan lebih penting daripada kekuatan angin itu sendiri. Fenomena ini bukan bencana besar dari segi angin, tetapi kesannya boleh menjadi serius sekiranya struktur sementara, objek ringan dan kawasan sekitar tidak diperkukuh,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan agar semua struktur sementara diturunkan, objek ringan disimpan atau diikat kemas, pasar malam ditangguhkan serta kawasan sekitar pokok besar yang lemah dielakkan.

“Dengan persediaan yang betul, risiko dapat diminimumkan dan keadaan ini boleh dihadapi dengan lebih selamat,” katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata ribut tropika itu dikesan memasuki perairan Selat Melaka sejak 3.30 petang dan dijangka menyebabkan hujan lebat berterusan, angin kencang serta laut bergelora di Selangor, Perak dan sebahagian Pahang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan