JENAYAH & MAHKAMAH

Penghantar Barang Mengaku Cederakan Wartawan Sukan

28/11/2025 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Seorang penghantar barang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan sengaja mencederakan wartawan sukan Haresh Deol, yang juga Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), pada Selasa lepas.

R. Krishnan, 37, didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan kesalahan itu di depan Bangunan Tanjung Balai Group, Jalan Telawi 3, Bangsar di sini pada 3.10 petang hingga 3.32 petang 25 Nov lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya.

Majistret Illi Marisqa Khalizan membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Jan depan untuk mendengar fakta kes sebelum menjatuhkan hukuman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hench Goh menawarkan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam Mohamad Salihen Mastor yang mewakili Krishnan memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sebagai penghantar barang berpendapatan RM40 sehari.

“Anak guam saya perlu menanggung isteri yang tidak bekerja serta enam anak yang masih bersekolah. Saya mohon wang jaminan dikurangkan dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis,” katanya.

Goh  tidak membantah syarat tambahan yang dimohon peguam.

Baru-baru ini, Haresh, yang juga pengasas bersama portal berita TwentyTwo13 menerusi hantaran di laman X memaklumkan beliau telah diserang oleh dua lelaki ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi merakam insiden itu menggunakan telefon bimbit.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan