AM

Enam Sekeluarga Berdepan Detik Cemas Cerun Belakang Rumah Runtuh

28/11/2025 03:26 PM

SEREMBAN, 28 Nov (Bernama) -- Enam sekeluarga berdepan detik cemas apabila sebahagian cerun di kawasan perumahan Taman Bukit Berlian di sini runtuh kira-kira 3 pagi tadi, hingga mengakibatkan bahagian belakang sebuah daripada rumah mereka tertimbus.

Hun Swee Chun, 67, berkata kejadian itu menyebabkan ruang cucian di bahagian belakang rumah tertimbus dan menyebabkan air mengalir masuk ke ruang dapur.

“Anak perempuan saya terjaga selepas terdengar bunyi seperti pokok tumbang di belakang rumah, namun kami tidak menyangka keadaan sebenarnya lebih teruk apabila mendapati berlaku tanah runtuh di cerun belakang rumah.

“Insiden pokok tumbang di cerun sama pernah berlaku pada April lepas akibat hujan lebat, tetapi kali ini keadaan lebih serius. Buat sementara waktu, kami sekeluarga akan tinggal di hotel sekitar Seremban,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Hun, yang telah menetap di kawasan itu hampir tujuh tahun berkata insiden tanah runtuh itu telah menjejaskan rumah anaknya manakala kediaman adik perempuannya tidak mengalami kerosakan.

Menurut Hun, pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menasihati mereka supaya berpindah untuk sementara waktu kerana masih terdapat pergerakan tanah di kawasan terbabit.

Katanya, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) akan melakukan pemeriksaan terperinci dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan kawasan itu selamat didiami.

Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan hari ini melaporkan satu insiden tanah runtuh berlaku sekitar 3.55 pagi di kawasan perumahan tersebut yang menjejaskan dua rumah didiami enam mangsa, susulan hujan lebat awal pagi tadi.

Menurut JBPM negeri, beberapa kejadian pokok tumbang turut dilaporkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan