DUNIA

Korea Selatan Sekat 15 Individu, 132 Entiti Terlibat Penipuan Dalam Talian Di Asia Tenggara

28/11/2025 03:46 PM

SEOUL, 28 Nov (Bernama-Yonhap) -- Korea Selatan pada Khamis mengenakan sekatan secara bersendirian terhadap 15 individu dan lebih seratus entiti atas pembabitan mereka dalam jenayah rentas sempadan di Asia Tenggara, terutamanya penipuan dalam talian yang menyasarkan rakyat Korea Selatan, lapor Yonhap News.

Ini menandakan kali pertama Korea Selatan mengenakan sekatan berkaitan jenayah rentas sempadan di Asia Tenggara.

Individu dan organisasi jenayah terbabit dalam penipuan voice phishing serta penipuan dalam talian lain, turut dikenakan sekatan bersama ahli-ahli mereka, menurut Kementerian Luar negara itu dalam satu kenyataan.

“Kerajaan sedang melakukan usaha habis-habisan dan komprehensif sebagai respons terhadap jenayah rentas sempadan yang menimbulkan ancaman serius kepada nyawa dan harta benda rakyat kami,” kata kementerian itu.

“Kami telah mempertingkatkan usaha untuk membanteras jenayah rentas sempadan dan sedang berunding dengan negara-negara lain mengenai isu tersebut. Sekatan bersendirian yang diumumkan hari ini (Khamis) merupakan lanjutan kepada usaha ini,” katanya.

Korea Selatan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan China untuk bekerjasama membanteras penipuan voice phishing dan penipuan dalam talian semasa sidang kemuncak antara Presiden Lee Jae Myung dan Presiden China, Xi Jinping, awal bulan ini.

Korea Selatan turut menandatangani MoU dengan Kemboja bagi mewujudkan satu pasukan petugas dalam pasukan polis Kemboja untuk menangani jenayah serupa yang menyasarkan rakyat Korea Selatan dan untuk melindungi rakyatnya dengan lebih baik.

-- BERNAMA-YONHAP


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan