SUKAN

Kejayaan Di Separuh Akhir, Suntik Semangat Harimau Selatan Menjelang Final Piala FA - Munoz

01/12/2025 12:18 PM

ISKANDAR PUTERI, 1 Dis (Bernama) -- Juara Liga Super Johor Darul Ta’zim (JDT) percaya kemenangan 2-0 pada perlawanan separuh akhir kedua ke atas Kuching City FC menjadi motivasi terbaik menjelang perlawanan akhir Piala FA menentang Sabah FC pada 14 Dis ini.

Ketua jurulatih skuad Harimau Selatan Xisco Munoz memuji prestasi dan semangat anak buahnya sepanjang perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim di sini, yang mencipta pelbagai peluang serta mengawal permainan dari mula hingga wisel penamat.

Beliau berkata adalah penting untuk para pemain menampilkan komitmen, semangat dan intensiti sama pada perlawanan akhir menentang Sabah kelak.

“Satu perkara yang boleh pasukan laukan ialah menutup perlawanan dengan baik, dan memanfaatkan peluang depan mata. Apabila anda mempunyai banyak peluang, anda mesti memanfaatka permainan,” katanya pada sidang media pascaperlawanan di Stadium Sultan Ibrahim malam tadi.

Beliau turut mengulas mengenai ketiadaan “ayam tambatan” JDT Arif Aiman Mohd Hanapi akibat kecederaan dan usaha kelab memastikan pemulihan sepenuhnya sebelum aksi final Piala FA.

“Ketiadaan beliau amat dirasai. Arif antara pemain terbaik di Asia. Kehilangan pemain sehebat beliau sentiasa menyukarkan. Kami sedang bekerja keras untuk memastikan beliau kembali dalam keadaan cergas sepenuhnya. Yang positifnya, apabila kembali, beliau akan lebih kuar dan itu paling penting,” katanya.

Menjelang saingan Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) menentang Preah Khan Reach Svay Rieng FC di Stadium Nasional Morodok Techno, Kemboja pada Khamis ini, Munoz menekankan kepentingan fokus, semangat juang tinggi dan menjunjung nilai-nilai kelab.

Sementara itu, ketua jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak mengakui perlawanan menentang JDT merupakan satu tugasan berat, pada masa sama mengiktiraf keunggulan dan status juara pasukan itu.

“JDT sememang lebih baik berbanding pasukan kita. Kita merupakan kelab baharu yang sentiasa berusaha memperbaiki prestasi setiap tahun. Saya rasa kita sudah mencipta sejarah dengan mara ke separuh akhir, yang merupakan kejayaan besar bagi kelab ini,” katanya.

Aidil Sharin mengakui cabaran dihadapi pasukan bimbingannya dengan ketiadaan beberapa pemain utama, namun tetapi memuji usaha pasukannya yang tidak memberi laluan mudah kepada JDT.

“Memang sukar berdepan pasukan seperti JDT di separuh akhir. Tapi pemain telah berikan yang terbaik dan membuktikan mereka mempunyai kualiti untuk menentang pasukan hebat,” katanya.

Pada perlawanan separuh akhir kedua semalam, gol JDT diperoleh menerusi Bergson Da Silva pada minit ke-25, dan Eddy Israfilov (minit ke-82).

Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Sabah FC dan Selangor FC yang beraksi dengan 10 pemain terpaksa melalui penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas tamat 90 minit perlawanan, yang menyaksikan kedua-dua pasukan juga terikat 5-5 secara agregat.

Sabah menamatkan penantian 27 tahun untuk melangkah ke perlawanan akhir Piala FA selepas menewaskan Selangor 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan