POLITIK

Pasca PRN Sabah: Sokongan Parti Gabungan, ADUN Bebas Penentu Kestabilan Kabinet Hajiji - Penganalisis

01/12/2025 01:34 PM

Oleh Rohana Nasrah dan Lucia Terey Anak John

KOTA KINABALU, 1 Dis (Bernama) -- Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor perlu memperkukuh barisan Kabinet serta memeterai persefahaman dasar yang mantap dengan parti-parti pendukung bagi memastikan kerajaan negeri baharu dapat bertahan dalam landskap politik Sabah yang sentiasa dinamik.

Keperluan itu timbul selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipimpinnya memperoleh hanya 29 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 — kurang lapan kerusi untuk mencapai majoriti mudah sebanyak 37 kerusi.

Sementara itu, Parti Warisan memenangi 25 kerusi, Barisan Nasional (6), calon Bebas (5), Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (3), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (2), manakala Perikatan Nasional (PN), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing satu kerusi.

Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata kedudukan itu menyebabkan pentadbiran Hajiji bergantung pada sokongan tambahan daripada  STAR, UPKO, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas serta seorang ADUN PH.

Beliau bagaimanapun yakin bahawa sekiranya kerajaan GRS mempersembahkan struktur pentadbiran yang kukuh, sokongan ADUN Bebas dan parti kecil dapat dikekalkan, sekali gus membolehkan kerajaan baharu menumpukan perhatian terhadap pembangunan negeri serta tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Tanpa struktur jelas, sokongan ADUN Bebas dan parti kecil mudah rapuh. Jika Hajiji dapat menyatukan mereka dalam rangka tadbir urus yang stabil, kerajaan bukan sahaja bertahan, malah dapat menumpukan perhatian kepada pembangunan negeri dan tuntutan hak Sabah,” kata Prof Sivamurugan kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Sivamurugan menegaskan pelaksanaan MA63 dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah adalah isu kritikal yang tidak boleh ditangguh.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Sabah Dr Arvin Tajari berkata Hajiji perlu bertindak dengan penuh kebijaksanaan supaya parti pendukung terus mengekalkan sokongan.

“Cabaran pertama Ketua Menteri ialah menyusun jemaah menteri mengikut komposisi parti. Selain itu, beliau juga perlu memastikan Belanjawan Negeri mendapat kelulusan dalam Sidang DUN yang akan datang,” katanya.

Menurut Arvin, kerajaan campuran mempunyai kelebihan kerana mampu mewakili kepelbagaian etnik di Sabah, membolehkan suara masyarakat didengari secara lebih inklusif.

Bagaimanapun, beliau mengakui kelemahan ketara kerajaan tanpa majoriti jelas ialah risiko tumbang sekiranya mana-mana parti gabungan berasa kepentingan mereka tidak dipenuhi.

“Ketua Menteri perlu memberikan ruang sewajarnya kepada semua komponen gabungan dalam kabinet negeri berdasarkan jumlah kerusi yang dimenangi. Warisan pula berperanan sebagai pembangkang efektif bagi memastikan semak dan imbang dalam DUN,” katanya.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Madya Dr Syahruddin Awang Ahmad berkata sejarah politik Sabah membuktikan kestabilan adalah ‘komoditi mahal’ kerana perubahan kerajaan kerap berlaku sebelum tamat penggal.

Namun menurutnya, perhatian konsisten kerajaan Persekutuan terhadap Sabah, termasuk peningkatan peruntukan pembangunan, berpotensi menjadi insentif yang mengurangkan risiko krisis politik berterusan.

Justeru, Syahruddin yang juga Penyelidik Geopolitik dan Elektoral Sabah (GeoPes) UMS berkata perkara paling penting yang perlu dilakukan Hajiji ialah memperkukuh tatakelola secara agresif dan telus, terutamanya dalam penyampaian infrastruktur asas.

“Kerajaan campuran yang rapuh tidak boleh bergantung pada pengagihan kuasa politik semata-mata. Ia mesti memberi manfaat nyata kepada penduduk, seperti satu bentuk ‘kontrak sosial’ baharu dengan pengundi,” katanya.

Dengan hasil negeri dilaporkan meningkat kepada RM7 bilion, beliau menegaskan dana itu perlu diterjemahkan kepada projek yang dilaksana secara cekap dan bebas rasuah, memandangkan kelemahan dalam penyampaian projek sering dijadikan modal serangan pembangkang.

“Kerajaan Sabah baharu perlu menunjukkan prestasi boleh diukur dalam menangani isu ini. Sekiranya berjaya, ia bukan sahaja menjamin sokongan rakyat, tetapi turut mengukuhkan kestabilan politik negeri,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan