KUALA LUMPUR, 1 Dis (Bernama) -- Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) akan dibentangkan ke Mesyuarat Jemaah Menteri, di samping dibincangkan secara mendalam bersama pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata laporan itu merangkumi penelitian serta pemeriksaan JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM bagi 2021 hingga 2024, untuk jawatankuasa itu mengenal pasti trend dan perkembangan semasa terkait usaha pencegahan rasuah dan cabaran dihadapi SPRM.
“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung, dan keyakinan rakyat diperteguh.
“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak. Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Terdahulu, Anwar menerima kunjungan hormat jawatankuasa itu yang diketuai Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah dan mendengar pembentangan laporan tahunan mereka buat kali pertama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial