JENAYAH & MAHKAMAH

Pelajar Institusi Pengajian Tinggi Ditahan Halang Tugas Polis, Pandu Melulu

01/12/2025 11:50 PM

KOTA BHARU, 1 Dis (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi di Jeli ditahan selepas bertindak menghalang tugas penjawat awam dan memandu kereta secara melulu ketika pemeriksaan anggota Unit Kereta Peronda (MPV), petang tadi.

Ketua Polis Daerah Jeli Supt Kamarulzaman Harun berkata kejadian berlaku pada 3.30 petang ketika anggota MPV sedang menjalankan rondaan sebelum melihat sebuah Perodua Myvi di tepi jalan Kampung Sungai Rual. 

Beliau berkata ketika polis mahu memeriksa kereta itu, pemandunya memecut laju kenderaan terbabit dan enggan memberi kerjasama menyebabkan polis mengekori kereta itu.

“Pemandu terbabit bertindak menghimpit kenderaan polis dan memandu secara melulu sebelum polis berjaya memintas kenderaan itu di Kampung Rabbana, Jeli. 

“Pemandu terbabit kemudian melarikan diri dan enggan memberi kerjasama sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan. Pemeriksaan di dalam kereta, polis menemukan seorang remaja perempuan yang masih bersekolah,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Kamarulzaman berkata siasatan awal mendapati kedua-duanya terkejut dengan kehadiran polis dan pemeriksaan yang hendak dijalankan.

Kedua-duanya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan pelajar lelaki terbabit akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 186 serta 279 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan