AM

Tanah Runtuh: Briged Kelapan Infantri Sedia Bantu Penugasan Di Jalan Gua Musang-Lojing 

03/12/2025 07:14 PM

KOTA BHARU, 3 Dis (Bernama) -- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Briged Kelapan Infantri (8 Briged) bersiap sedia sekiranya diarahkan untuk membantu penugasan di kawasan kejadian tanah runtuh di Jalan Gua Musang-Lojing.

Panglima 8 Briged Brig Jen Mohamad Nizam Abdul Manap berkata bagaimanapun pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada pihak pengurusan tertinggi untuk menjalankan penugasan di kawasan kejadian.

"Memang kita sudah terima laporan di peringkat pengurusan bencana negeri, bagaimanapun penugasan kami hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada pihak atasan.

"Keadaan (tanah runtuh) saya difahamkan terkawal, cuma lubang atau tanah runtuh itu (pembaikan) akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), sekiranya kami diperlukan.. kami sedia membantu," katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) kepada 188 bakal pesara ATM dari Kelantan, Terengganu dan Pahang di sini hari ini.

JKR Gua Musang dalam kenyataan hari ini memaklumkan Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6, berhampiran Pos Blau, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai hari ini susulan kejadian tanah runtuh.

Sehubungan dengan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif.

Mengenai persediaan menghadapi banjir gelombang kedua di Kelantan dan Terengganu, Mohamad Nizam berkata pihaknya akan mengekalkan kekuatan lebih 1,000 anggota dan telah menerima beberapa penambahan aset daripada Markas Divisyen 2 seperti bot untuk menampung keperluan semasa.  

"Anggota dalam keadaan siap sedia di kawasan yang telah diberi tanggungjawab kepada mereka. Ketika banjir gelombang pertama baru-baru ini, sebanyak 23 anggota telah terjejas membabitkan beberapa jajahan iaitu Tumpat, Pasir Mas dan Bachok di Kelantan dan Kuala Nerus, Terengganu," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan