FOKUS BERNAMA

Undang-Undang Dadah Malaysia Tidak Beri Muka, Belia Dan Orang Miskin Paling Terjejas

04/12/2025 10:19 AM
Daripada Nina Muslim

Artikel ini adalah yang pertama daripada laporan bersiri yang menyoroti usaha nyahjenayah kesalahan dadah di Malaysia.

 

Mat (bukan nama sebenar) dipenjarakan hanya kerana ingin makan “biskut istimewa”.  

Suatu malam pada 2017, dia yang ketika itu hanya berusia 20 tahun, teringin makan biskut. Akan tetapi biskut yang diingininya bukan “biasa-biasa”. Hanya dia sahaja yang boleh buat biskut itu. Bekas penuntut kolej ini kemudian ke kedai runcit untuk dapatkan bahan-bahan sebelum singgah di tempat pembekal “bahan istimewa” biskutnya. Dia meninggalkan tempat itu dengan 70 gram ganja.

“Saya buat butter (mentega khas) untuk buat biskut (ganja). Saya baru pergi restock (tambah bekalan) ganja untuk buat butter tu. Resipi kan (bahan-bahannya) ada jumlah tertentu,” kongsinya dengan Bernama melalui telefon.  

Segalanya berjalan lancar sehinggalah dia dalam perjalanan pulang. Dia nampak deretan kenderaan di depannya memperlahan. Rupa-rupanya ada pemeriksaan polis. Panik, dia melompat turun dari motosikal yang dibonceng dan cuba lari sambil membawa bekalan ganjanya - tindakan yang menarik perhatian pihak polis yang pantas mengejar sebelum memberkasnya.

Jumlah ganja yang ditemukan bersama-sama dengan Mat itu terlalu sedikit untuk “melayakkannya” sebagai pengedar di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952, namun pada masa sama tidak boleh diabaikan.

Mat dan rakannya ditahan di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya kerana memiliki dadah dan terpaksa bermalam di lokap. Keesokannya, Mat dibawa ke mahkamah bagi tujuan reman. Rakannya pula dikatakan “diberi tekanan” untuk menjadi saksi pendakwaan.

Mat kemudian didakwa dan dia mengaku tidak bersalah. Sementara menunggu perbicaraan kesnya, Mat yang tidak dibenarkan ikat jamin menghabiskan sembilan bulan di penjara, dan apabila kesnya disebut semula dia menukar pengakuan kepada bersalah dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun berserta 10 sebatan. 

Mat bukan penagih. Malah dia langsung tidak berminat untuk mengambil dadah yang lebih kuat seperti heroin, ketamin atau methamphetamine. Dia juga tidak pernah terlibat dalam jenayah ganas. Akan tetapi, jika ada yang menyiasat latar belakangnya, Mat tersenarai sebagai “orang yang tidak diingini” atau penjenayah, gara-gara Akta Pendaftaran Penjenayah dan Orang Tidak Diingini 1969 (RCUPA). Seperti yang dialami oleh ramai lagi, label ini mengekorinya ke mana sahaja dia pergi dan mengehadkan peluangnya untuk mendapatkan pekerjaan ataupun menyambung pengajian.

Kes Mat bukan sesuatu yang luar biasa, tetapi senario lazim disebabkan oleh pendekatan Malaysia dalam menangani kesalahan dadah, kata pakar.

“Selama berdekad, kita hanya ada satu pendekatan dalam mengendalikan masalah dadah di Malaysia, iaitu tindakan punitif dan sistem keadilan jenayah. Pendekatan sebegini nampak macam dapat menangani penggunaan dadah, tetapi realitinya lebih banyak mudarat berbanding kebaikan,” kata Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman di Sidang Kemuncak Dasar Dadah 2025 yang pertama Malaysia pada November lalu.

 

MORAL DAN JENAYAH SOSIAL 

Siapakah yang dianggap sebagai pesalah dadah di bawah undang-undang Malaysia? Sejak berdekad lalu istilah itu merujuk sesiapa sahaja yang menggunakan, membeli, menjual atau membawa bahan terlarang tersebut. Bergantung pada jumlah dan jenis dadah yang ada dalam milikan atau sistem tubuh seseorang, serta berapa kali dia disabitkan dengan kesalahan itu, pendekatan yang diamal ialah menghukum dan menyisihkan mereka.

Aktivis hak asasi manusia Dobby Chew Chuan Yang berkata undang-undang dadah Malaysia yang keras berasal dari era kolonial yang mengamalkan pendekatan bersifat peribadi terhadap penggunaan dan perdagangan dadah dengan mengenakan hukuman berat ke atas individu terbabit.

“Kita tidak selidik punca. Sistem perundangan kita tidak berasaskan aspek itu, tetapi memfokuskan pada… ‘kita telah tetapkan ini sebagai satu kesalahan dalam undang-undang. Kamu telah melakukan sesuatu yang ada elemen kesalahan itu, jadi kami dakwa kamu atas kesalahan tersebut’,” katanya. 

Undang-undang itu juga “mengizinkan” seseorang yang ditangkap berkaitan dadah terus dianggap bersalah,  sekali gus meletakkan beban pembuktian tidak bersalah pada individu tersebut.

Dalam jenayah lain, keadaan adalah sebaliknya. Dalam kes sedemikian, ada tanggapan tidak bersalah yang mewajibkan kerajaan membuktikan bahawa tertuduh melakukan jenayah tersebut. Jenayah yang melibatkan hukuman penjara lama seperti rogol, serangan bersenjata dan pembunuhan juga memerlukan kewujudan mangsa yang menerima kesan daripada perbuatan individu itu. Namun bagi kesalahan dadah, daripada kes seperti memiliki dadah dalam jumlah kecil hinggalah mengangkut dadah, tidak perlu ada mangsa secara langsung. Sebaliknya, masyarakat yang dianggap sebagai mangsa.

Menambahkan lagi kerumitan, undang-undang tidak membezakan antara individu seperti Mat yang bersalah atas kesalahan kecil serta tidak ganas dengan pertuduhan dadah lebih serius seperti mengedar. Pada masa ini, semua kesalahan dadah mewajibkan hukuman dan pemisahan daripada masyarakat.

Jika seseorang hanya menggunakan dadah tetapi tidak mengedarnya, mereka akan dihantar ke pusat pemulihan mandatori yang dikendalikan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) atau dipenjarakan. 

Sebelum 2023, kesalahan mengedar dadah membawa hukuman mati mandatori tanpa mengira keadaan. Skopnya pula sangat luas. Sesiapa sahaja yang berada berhampiran lokasi urus niaga atau simpanan dadah, seperti rakan serumah atau ahli keluarga yang tinggal bersama-sama seorang kurier dadah, dia boleh dianggap bersalah mengedar.

“Seperti seorang ibu yang kebetulan duduk di rumah menonton TV… tiba-tiba kena tangkap seolah-olah dia ketua kartel dadah, hanya kerana ada 10 kilogram ganja di loteng rumah (yang disembunyikan oleh anaknya),” kata Chew.

Tujuan pendekatan keras dengan mengenakan hukuman berat dan tidak sepadan dengan kesalahan ini adalah dengan harapan ia akan menghalang orang lain daripada melakukan kesalahan serupa. Namun statistik menunjukkan sebaliknya.

Hakikatnya, hal ini telah menjadi kaedah berkesan bagi polis dan pendakwa raya menilai prestasi kerja mereka. Ia juga mewujudkan persepsi masyarakat bahawa kerajaan tegas membanteras jenayah dadah. Namun bagi golongan kurang bernasib baik, risiko untuk disabitkan kesalahan dan dipenjarakan adalah jauh lebih tinggi.

Dr Adeeba berkata dalam tempoh bertahun-tahun beliau melawat dan berbual dengan banduan di Penjara Kajang, jarang sekali beliau bertemu pesalah dadah daripada golongan kaya.

“Pendekatan dasar semasa gagal menangani faktor penentu sosial kesihatan yang mendasari, seperti kemiskinan, yang meningkatkan risiko penggunaan dadah dan kekurangan pendidikan,” katanya.

 

LEBIH BANYAK MUDARAT DARIPADA KEBAIKAN 

Sejak perang terhadap dadah dilancarkan pada 1980-an, perdagangan dadah global terus berkembang dengan nilainya kini memcecah US$500 bilion saban tahun berbanding US$124.3 bilion di akhir 80-an.

Seperti negara lain, jumlah kes dan tangkapan berkaitan dadah di Malaysia turut meningkat. Dalam satu kertas kajian pada 1988 yang diterbitkan dalam Medical Journal of Malaysia, penyelidik melaporkan negara ini merekodkan 711 orang penagih pada 1970 dan 110,363 orang pada 1985.  

Pada  2023, statistik AADK menunjukkan 145,526 pengguna dan penagih dadah. Jumlah ini meningkat hampir satu pertiga kepada 192,857 orang pada 2024, dengan 61 peratus daripadanya berumur 15 hingga 39 tahun.

Menurut statistik jenayah yang dikumpulkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM), pada 2021 polis merekodkan 108,220 kes dadah dan 129,604 tangkapan berkaitan dadah. Menjelang 2023, jumlah itu meningkat kepada 158,417 kes dadah dan 179,799 tangkapan. 

Undang-undang ini bukannya mengurangkan perdagangan atau penggunaan dadah, sebaliknya menjejaskan masa depan ramai orang, terutamanya anak muda daripada keluarga berpendapatan rendah.

“Rekod jenayah menyukarkan seseorang mendapatkan pekerjaan yang stabil atau akses kepada peluang pendidikan, sekali gus meneruskan kitaran kemiskinan dan penggunaan bahan terlarang,” kata Dr Adeeba.

“Selain itu, pemenjaraan ibu bapa mengakibatkan keluarga, terutamanya anak-anak, berdepan stigma dan trauma, selain dinafikan kasih sayang dan perhatian ibu bapa.”

Seseorang itu juga tidak perlu disabitkan dengan kesalahan untuk disenaraikan sebagai “orang tidak diingini” di bawah RCUPA. Pada November tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata lebih sejuta nama tersenarai di bawah akta itu, termasuk mereka yang hanya ditahan bagi disoal siasat tetapi tidak didakwa serta mereka yang menjadi saksi.

Media pernah melaporkan kes orang awam dan saksi dalam insiden berkaitan dadah yang menghadapi masalah apabila cuba mendaftar di universiti atau memohon pekerjaan.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia telah memulakan pembaharuan dasar dadah. Pada Julai tahun ini, Saifuddin berkata sebagai sebahagian daripada usaha reformasi dadah, Kabinet telah meluluskan pindaan kepada RCUPA untuk memadam rekod individu yang disabitkan kesalahan tidak ganas atau kesalahan kecil selepas tempoh tertentu. Katanya kementerian sedang mengusahakan pindaan itu, tetapi beliau tidak menyatakan bila ia akan siap.

 Kerajaan juga telah meluluskan pindaan terhadap Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) tahun lalu untuk nyahjenayah penggunaan dadah. Sebaliknya, pengguna dan penagih dadah diwajibkan menjalani pemulihan di pusat AADK. Namun, mereka masih akan direkodkan sebagai pesalah dadah.

Pakar ketagihan dan pemulihan membantah pindaan tersebut, kerana ia masih mengekalkan unsur hukuman dalam undang-undang dadah dan boleh menyukarkan lagi individu untuk mendapatkan bantuan.

 

NYAHJENAYAH BUKAN “HALALKAN” 

Kes Mat adalah tipikal. Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Lukanisman Awang Sauni berkongsi kisah “Khalid” dengan Bernama. Khalid disabitkan dengan kesalahan memiliki sejumlah kecil dadah sewaktu masih remaja.

“Rekod itu ‘mengikutnya’ selama lebih 20 tahun. Walhal kesnya cuma pemilikan sejumlah kecil dadah yang digunakannya secara rekreasi, tetapi dia dihukum begitu lama… memberikan kesan besar kepada masa depannya, terutama apabila dia memohon pekerjaan,” kata Lukanisman.

Pakar menegaskan nyahjenayah kesalahan kecil berkaitan dadah seperti memiliki dadah dalam jumlah yang tidak mencapai nilai ambang pengedaran dadah, dan menjadikan salah guna bahan itu sebagai isu kesihatan awam, akan membaiki sebahagian besar kemudaratan yang berlaku akibat hukuman berat selama ini. Langkah ini juga akan menggalakkan penagih untuk mencari dan menerima bantuan apabila mereka bersedia, yang seterusnya mengurangkan kadar pengulangan jenayah.   

Pakar juga menekankan nyahjenayah tidak sama dengan pembenaran di sisi undang-undang. 

Kerajaan dilihat bersedia untuk mendengar sekalipun laluan ke arah itu mungkin berliku dan sarat dengan salah faham.

Pada satu sidang media di sidang kemuncak dasar dadah itu, Lukanisman mengulangi komitmen kerajaan untuk menyemak semula dan mengubah dasar berkaitan dadah. 

“Kita tidak mahu melihat kesilapan (yang dilakukan oleh individu terbabit) sebagai kesilapan yang berkekalan, kerana jika dilihat pada data, paling ramai terlibat dalam insiden (salah guna dadah) ialah mereka yang berusia 19-39 tahun.

“Mereka golongan produktif, generasi yang menyumbang kepada ekonomi. Jika kita halang kelompok ini (daripada) mendapat pendidikan atau peluang menyambung pendidikan, malah dihukum oleh (undang-undang) yang digubal semasa era kolonial, maka kita akan kerugian,” katanya.  

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan