AM

Tengku Permaisuri Norashikin Rasmi Taman Anggerik Shah Alam

04/12/2025 02:30 PM

SHAH ALAM, 4 Dis (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Taman Anggerik Shah Alam yang terletak di Seksyen 14 di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda pada 10.30 pagi disambut oleh isteri Menteri Besar Selangor Datin Seri Masdiana Muhamad, serta Datuk Bandar Shah Alam Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menandatangani plak perasmian sebelum berangkat melawat ruang pameran dan rumah kaca anggerik pada majlis berkenaan.

Sementara itu, Mohd Fauzi dalam sembah ucapannya berkata pembangunan taman itu oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merupakan sokongan terhadap matlamat mewujudkan bandar raya yang lebih lestari, seimbang dan berdaya huni.

Beliau berkata selaras dengan identiti Shah Alam, pembinaan taman anggerik tersebut telah dirancang sejak tahun 2000 dengan tujuan memperkasa pelaksanaan pembangunan induk Taman Tasik Shah Alam.

“Pembinaan ini bertujuan menjadi pusat pameran anggerik serta pusat pengumpulan pelbagai jenis dan koleksi pokok anggerik dari dalam dan luar negara.

“Selain itu, taman anggerik ini juga merupakan antara produk pelancongan baharu yang akan menjadi pusat pendidikan bunga anggerik kepada pengunjung,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fauzi berkata taman berkenaan akan menjadi pemangkin pembangunan hijau, pusat pendidikan komuniti serta platform bagi pencinta flora dan fauna.

“Pembinaan ini juga akan menggalakkan lebih ramai warga Shah Alam memelihara dan menyumbang kepada usaha penghijauan bandar raya ini,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan