DUNIA

Trump Umum Pelonggaran Peraturan Kecekapan Bahan Api AS

04/12/2025 02:24 PM

WASHINGTON, 4 Dis (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Rabu mengumumkan rancangan untuk melonggarkan keperluan kecekapan bahan api bagi kereta dan trak ringan, sambil menyifatkan peraturan sedia ada sebagai “antiekonomi,” lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Langkah itu, yang bertujuan mengurangkan kos kepada pengguna AS, diumumkan bersama eksekutif daripada pengeluar kenderaan utama termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Stellantis Antonio Filosa dan Ketua Ford Jim Farley, yang berkata langkah tersebut boleh membantu menyediakan kenderaan yang lebih mampu milik kepada pasaran AS.

Di bawah peraturan semasa yang ditetapkan ketika pentadbiran Biden, purata kecekapan bahan api bagi keseluruhan kenderaan keluaran 2031 perlu mencapai sekitar 50 batu bagi setiap gelen (kira-kira 4.7 liter bagi setiap 100 kilometer). Cadangan baharu itu akan menurunkan sasaran kepada 34.5 batu setiap gelen (sekitar 6.8 liter bagi setiap 100 kilometer).

Peraturan lebih ketat di bawah pentadbiran Biden bertujuan mengurangkan kos bahan api kepada pengguna di samping memelihara alam sekitar, namun pengeluar kenderaan berdepan kos pematuhan yang lebih tinggi.

Pentadbiran Trump juga merancang untuk menamatkan perdagangan kredit pelepasan bermula dengan model 2028.

Sebelum ini, pengeluar kenderaan menggunakan kredit tersebut untuk memenuhi piawaian ketat itu, dengan Tesla khususnya meraih manfaat kewangan daripada sistem berkenaan.

Dalam perkembangan berasingan, usaha alam sekitar California menerima tamparan awal tahun ini apabila Senat AS membatalkan pengecualian yang membenarkan negeri itu menetapkan standard alam sekitar lebih ketat berbanding peraturan persekutuan.

Langkah yang diumumkan Trump serta Jabatan Pengangkutan AS itu masih belum dilaksanakan.

-- BERNAMA-dpa


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan