AM

Bung Moktar: Perginya Seorang Pejuang Rakyat Sabah

05/12/2025 08:27 AM

Oleh Fadzli Ramli

KOTA KINABALU, 5 Dis (Bernama) -- Sabah kehilangan seorang pejuang rakyat yang lantang dan tegas dalam memperjuangkan hak serta kesejahteraan negeri ini, dengan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi.

Sinonim dengan laungan ‘Radu Tatap Radu’ atau ‘Lawan Tetap Lawan’, Allahyarham dikenali sebagai pemimpin berani yang tidak gentar menyuarakan isu rakyat, termasuk keperluan asas seperti pembangunan infrastruktur, jalan raya, bekalan air bersih dan peluang ekonomi luar bandar.

Bung Moktar, yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, dilahirkan pada 15 Sept 1959 di Sukau, Kinabatangan. Beliau memiliki Ijazah Sarjana Falsafah (Analisis Polisi dan Keselamatan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan dari 1987 hingga 1991, beliau kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan dari 1991 hingga 1992, sebelum dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah dari 1994 hingga 1999.

Allahyarham turut pernah menyandang jawatan Pengerusi Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) serta Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-16 pada September 2020, Bung Moktar memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Kerja Raya Sabah.

Pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini, beliau mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi dalam pertandingan enam penjuru.

Dalam arena politik nasional, Bung Moktar memulakan langkah sebagai Ahli Parlimen Kinabatangan selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-10 pada November 1999, dan terus berkhidmat selama enam penggal berturut-turut.

Beliau turut pernah memegang beberapa jawatan penting dalam UMNO, termasuk Ahli Majlis Tertinggi parti dan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan sehingga kini.

Di peringkat Parlimen, beliau pernah berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC), sekali gus menonjolkan pengaruhnya di peringkat nasional.

Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan