AM

Cerapan Matahari, Hospital Medan Jadi Tumpuan Di Program Rancakkan MADANI

06/12/2025 03:52 PM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Planetarium Negara menawarkan pengalaman unik kepada orang ramai menerusi aktiviti cerapan matahari secara langsung menggunakan teleskop khas di reruai pamerannya sempena program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku.

Wakil Planetarium Negara Adli Roslan berkata dua teleskop disediakan bagi memberi peluang kepada pengunjung melihat dengan lebih dekat lapisan matahari, masing-masing bagi fotosfera menggunakan penuras cahaya putih dan kromosfera menggunakan penuras hidrogen alfa.

"Melalui kedua-dua teleskop ini, pengunjung boleh melihat dan merasai sendiri pengalaman melihat matahari secara langsung. Bukan mudah untuk memerhati matahari kerana ia memerlukan peralatan dan penuras khas," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan itu bukan sahaja membolehkan orang ramai memahami struktur dan warna sebenar matahari tetapi juga berupaya mencetuskan minat terhadap bidang sains angkasa dalam kalangan anak muda.

"Kita bawa peralatan sebenar termasuk teleskop khas agar pengunjung boleh melihat sendiri fenomena ini dengan cara yang selamat. Dari situ, mereka boleh belajar tentang bintang, sistem suria dan asal-usul alam semesta," katanya.

Selain aktiviti cerapan matahari pada siang hari, Adli berkata sesi pemerhatian malam pula memberi peluang kepada pengunjung melihat planet Zuhal (Saturn) serta bulan Purnama atau Pasca Purnama menggunakan teleskop.

"Cerapan malam dijadualkan bermula sekitar 7 malam untuk melihat planet Zuhal manakala pemerhatian bulan akan dijalankan sekitar 9 malam," katanya.

Beliau berkata reruai Planetarium Negara menerima antara 300 ke 500 pengunjung dan rata-rata teruja apabila melihat sendiri warna dan ciri-ciri matahari melalui teleskop.

"Mereka juga boleh bertanya tentang bintang dan asal-usul kehidupan di alam semesta," katanya.

Planetarium merupakan satu daripada jabatan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan berfungsi memperkasa kesedaran awam terhadap sains angkasa, teknologi pemerhatian dan astronomi dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Perkhidmatan Kesihatan ATM membuka Hospital Medan bagi memaparkan peranan dan keupayaan pasukan itu dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan di dalam serta luar negara.

Kol (Dr) Faira Rosmarina Mohd Rustam berkata pameran berkenaan bertujuan memberi pendedahan kepada orang awam mengenai fungsi Hospital Medan dan penglibatan ATM dalam misi kemanusiaan antarabangsa serta operasi bencana tempatan.

"Hospital Medan ini adalah sebuah mini hospital yang kami bawa bagi menunjukkan bentuk perkhidmatan yang pernah kami laksanakan ketika misi kemanusiaan. Antara yang pernah dijalankan ialah misi bantuan ke Myanmar pada 2005 selepas kejadian gempa bumi, kami menghantar pasukan Forward Anesthesia Surgical Trauma (FAST) untuk membantu mangsa melalui operasi pembedahan dan rawatan kesihatan," katanya.

Beliau berkata selain di Myanmar, pasukan perubatan ATM juga terlibat dalam pelbagai misi antarabangsa termasuk semasa gempa bumi di Turki apabila Hospital Medan ATM ditubuhkan untuk melaksanakan pembedahan dan memberi rawatan kepada mangsa di kawasan terjejas.

Di peringkat tempatan, Faira Rosmarina berkata perkhidmatan kesihatan ATM turut memainkan peranan penting ketika pandemik COVID-19 dengan menubuhkan Hospital Medan di Hospital Pulau Pinang dan membantu Hospital Kepala Batas dengan penyediaan Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Kita mahu rakyat tahu bahawa perkhidmatan kesihatan ATM bukan hanya tertumpu kepada aspek ketenteraan atau peperangan semata-mata tetapi juga memainkan peranan penting dalam aspek kemanusiaan, kesihatan awam dan diplomasi kesihatan yang dilaksanakan kerajaan," katanya.

Beliau turut berharap pameran seperti itu dapat menarik minat rakyat, khususnya golongan muda untuk menyertai ATM.

"Ramai beranggapan ATM hanya melibatkan infantri, sedangkan kita juga mempunyai komponen kesihatan yang luas. Bila orang ramai lihat sendiri bagaimana ATM beroperasi, mereka akan faham bahawa kami turut terlibat dalam misi bukan konvensional seperti bencana dan bantuan kemanusiaan, bukan sekadar peperangan," katanya.

Program Rancakkan MADANI berlangsung selama tiga hari bermula semalam, membabitkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga serta pelbagai tawaran istimewa untuk pengunjung.

Ia  merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

Program berskala nasional tersebut dianjurkan Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan menyasarkan kehadiran sekitar 300,000 pengunjung. Pada hari pertama program, jumlah pengunjung yang dicatatkan adalah 127,611 orang.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan