EKONOMI

Malaysia Berhasil Basmi Kemiskinan, Kini Perlu Tumpu Pertumbuhan Inklusif - Bank Dunia

06/12/2025 04:19 PM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 6 Dis (Bernama) -- Bank Dunia memuji Malaysia atas kemajuan kukuh dalam mengurangkan kemiskinan terutama melibatkan miskin tegar namun, pernambahbaikan dari segi hasil pendidikan dan kesihatan juga penting untuk menyokong pertumbuhan yang inklusif dan adil.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia (Kemiskinan dan Ekuiti), Dr Ririn Salwa Purnamasari berkata pencapaian Malaysia sepanjang generasi lepas adalah tidak dapat dinafikan dengan kemiskinan tegar kini hampir dibasmi sepenuhnya.

“Usaha Malaysia dalam menghapuskan kemiskinan dan mengurangkan ketidaksamaan sangat mengagumkan.

“Kemiskinan tegar kini hampir tidak wujud. Sasaran kerajaan untuk membasmi kemiskinan tegar pada asasnya telah dicapai,” katanya semasa sesi panel di Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 yang diadakan sempena program Rancakkan MADANI di sini, hari ini.

Beliau berkata Malaysia kini perlu bergerak melangkaui usaha membasmi kemiskinan tegar dengan menumpukan kepada pembangunan yang lebih meluas dan adil.

“Kejayaan Malaysia bukan hanya mengenai mengeluarkan rakyat daripada zon kemiskinan tegar. Negara ini perlu mempunyai aspirasi yang lebih besar,” katanya.

Ririn berkata Malaysia sudah mempunyai asas yang kukuh, termasuk kadar kemasukan ke sekolah menengah yang tinggi, perlindungan  penjagaan kesihatan yang meluas serta kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

“Langkah Malaysia seterusnya bukan sekadar melakukan lebih banyak bagi setiap perkara tetapi menghubungkan perkara yang telah Malaysia miliki dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata negara ini berada pada kedudukan yang baik untuk mencapai masa depan yang inklusif dan berpendapatan tinggi.

“Malaysia berada di landasan untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi. Dalam beberapa tahun akan datang, insya-Allah, Malaysia akan menyertai kategori negara berpendapatan tinggi,” katanya.

Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dan doktor selebriti Dr Shazril Shaharuddin turut menjadi ahli panel dalam sesi selama 30 minit itu.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari, yang bermula semalam, menawarkan lebih 300 titik sentuhan perkhidmatan awam, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan promosi khas untuk pengunjung.

Rancakkan MADANI, anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), menyasarkan kehadiran 300,000 orang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan majlis penutup acara itu pada pukul 11 pagi esok.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan kepada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI (PSBKM) dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang telah menjadi tradisi pelaporan tahunan Kerajaan MADANI secara terus kepada rakyat.

 Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 itu menghimpunkan pakar dasar dari sektor awam dan penggiat industri.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan