AM

Mangsa Banjir Di Perak Dan Selangor Terus Menurun, Pahang Kekal

06/12/2025 10:29 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Situasi banjir di tiga negeri menunjukkan perkembangan positif setakat 9 malam ini apabila jumlah mangsa di Perak dan Selangor terus mencatatkan penurunan, manakala Pahang kekal tidak berubah.

Di PERAK, jumlah mangsa menurun kepada 1,021 orang daripada 291 keluarga yang masih berlindung di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah, berbanding 1,280 orang daripada 376 keluarga pada sebelah petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan daerah Hilir Perak kekal mencatat angka tertinggi dengan 465 mangsa, diikuti Bagan Datuk (335) dan Manjung (221).

Di SELANGOR, jumlah mangsa juga terus berkurangan kepada 114 orang daripada 45 keluarga berbanding 122 orang daripada 49 keluarga petang tadi.

Menurut laman web InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), hanya tiga PPS masih beroperasi, semuanya terletak di daerah Kuala Selangor.

Sementara itu di PAHANG, jumlah mangsa kekal 31 orang daripada 12 keluarga.

InfoBencana JKM memaklumkan, daerah Raub menempatkan 24 mangsa di PPS Balai Raya Kampung Ulu Sungai, manakala tujuh sekeluarga masih berlindung di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Kuantan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan