AM

MoT Laksana Penambahbaikan Kampung Panchor Dan Kampung Baru Paroi

06/12/2025 06:55 PM

SEREMBAN, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI telah membantu Kampung Panchor dan Kampung Baru Paroi di sini, dengan pelbagai projek yang merangkumi pembangunan infrastruktur, kesejahteraan komuniti serta penyediaan kemudahan awam.

Menterinya Anthony Loke berkata bagi Kampung Panchor, hasil sinergi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta peruntukan daripada kerajaan, projek bernilai hampir RM1 juta diluluskan bagi meningkatkan kesejahteraan penduduk. 

"Bagi projek yang diselaraskan JPKK, tiga inisiatif utama dilaksanakan iaitu naik taraf taman permainan serta pagar keselamatan di Perumahan Rakyat Panchor, pembinaan arca baharu di pintu masuk Rumah Rakyat Panchor, serta pemasangan pagar galvanized anti-climb di Surau Taman Jemerleng Indah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program 3 MADANI: Santuni MADANI, Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI peringkat kementerian bagi tahun ini, di sini hari ini.

Loke berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan turut melaksanakan beberapa projek penting termasuk membaik pulih longkang pecah di Perumahan Rakyat Panchor, menaik taraf gelanggang futsal yang rosak, serta kerja pembersihan pokok liar yang berisiko demi keselamatan penduduk.

Sementara itu, bagi Kampung Baru Paroi pihaknya sedang giat melaksanakan kerja menaik taraf infrastruktur sukan dan komuniti termasuk gelanggang bola keranjang, penambahbaikan tandas awam, serta pembinaan papan tanda pengenalan kampung yang baharu.

Loke berkata kementerian juga memainkan peranan sebagai mediator dalam membantu memudahkan urusan rakyat dengan agensi berkaitan, termasuk permohonan pertukaran status tanah daripada pegangan pajak kepada pegangan kekal bersama Pejabat Tanah dan Galian, serta menyelesaikan isu paip sambungan dengan Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS).

Menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI, beliau berkata sejumlah RM100,000 diperuntukkan bagi membantu beberapa sekolah di daerah ini merangkumi aspek infrastruktur, akademik dan pembangunan sahsiah pelajar.

"Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Ampangan, peruntukan digunakan untuk membekalkan aset Google TV  bagi pembelajaran digital, menyokong team building guru serta kerja menurap jalan dan parkir kenderaan demi keselesaan warga sekolah.

"Di bawah JPJ negeri, tumpuan diberikan kepada SMK Panchor, Sekolah Kebangsaan (SK) Panchor dengan menaik taraf pusat sumber, makmal komputer, agensi itu turut menambah perolehan peralatan sukan di sekolah terbabit," katanya.

Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menyantuni SMK Teriang Hilir di Jelebu, iaitu menerusi program pemantapan profesionalisme guru, naik taraf kemudahan sedia ada, penganjuran majlis graduasi dan sumbangan peralatan sukan.

Beliau berkata Jabatan Laut Malaysia (JLM) turut menyalurkan peruntukan RM100,000 kepada SK Mantin bagi menyokong pelaksanaan aktiviti akademik, kokurikulum, hal ehwal murid serta penambahbaikan infrastruktur, demi manfaat 1,388 murid di sekolah tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan