AM

Mah Sing Menang Tiga Anugerah Pada ESG Plus 2025

12/12/2025 03:56 PM

KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Mah Sing Group Bhd (Mah Sing) menerima tiga pengiktirafan pada penganjuran Anugerah ESG Plus 2025 menerusi Anugerah Kepimpinan Tadbir Urus dan Etika bagi kategoti Tadbir Urus Korporat dan Etika serta Pelaporan dan ketelusan ESG, dan Anugerah Kelestarian Alam Sekitar untuk Inovasi Produk Lestari.

Mah Sing dalam kenyataan hari ini, memaklumkan anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pada Rabu lepas.

“Pencapaian ini mencerminkan dedikasi kumpulan dalam mengintegrasikan tadbir urus yang bertanggungjawab, pengurusan alam sekitar dan pendedahan yang telus merentasi operasi pembangunan hartanah dan pembuatan.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi usaha berterusan kumpulan untuk menyelaraskan amalan perniagaan dengan jangkaan kelestarian global, menyokong matlamat iklim negara dan memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang taruh,” menurut kenyataan itu. 

Pengarah Strategi dan Operasi Kumpulan Mah Sing Jane Leong yang mewakili kumpulan pada majlis itu berkata anugerah tersebut lebih daripada pengiktirafan kerana mengingatkan mereka tanggungjawab yang dipikul sebagai pemaju hartanah dalam membentuk komuniti dan masa depan.

“Perjalanan ESG kami merupakan satu usaha berterusan dan kami kekal komited untuk memacu transformasi bermatlamat yang memberi manfaat kepada pemegang taruh dan alam sekitar," katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Tan Sri Leong Hoy Kum berkata pengiktirafan itu mengukuhkan usaha mereka menerapkan ESG sebagai teras utama dalam strategi jangka panjang kumpulan. 

“Kami amat berbesar hati menerima tiga pengiktirafan daripada Anugerah ESG PLUS 2025 yang memberi inspirasi untuk kami mengukuhkan keupayaan dalaman, meningkatkan rangka kerja dan meneruskan pendekatan yang praktikal dan bermakna bagi menyumbang kepada landskap kelestarian yang lebih luas,” katanya.

Anugerah ESG PLUS yang dianjurkan dengan kerjasama ESG Association of Malaysia, Convene ESG dan Baker Tilly mengiktiraf syarikat yang menunjukkan komitmen tinggi terhadap prinsip ESG, menghasilkan impak yang bermakna dan memacu transformasi yang lestari.

Kenyataan itu memaklumkan pendekatan tadbir urus Mah Sing berlandaskan komitmen yang kukuh terhadap integriti dan kelakuan beretika merentasi semua peringkat pembuatan keputusan.

“Selaras dengan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia, kumpulan ini memastikan pengawasan yang berkesan melalui jawatankuasa lembaga pengarah khusus dan kawalan dalaman yang diperkukuh,” menurut kenyataan itu.

Mah Sing memaklumkan mereka juga mengguna pakai piawaian lnisiatif Pelaporan Global dan Garis Panduan Pelaporan Kelestarian Bursa Malaysia dan sedang bersiap untuk beralih kepada keperluan IFRS S1 dan S2 di bawah Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan yang akan datang.

Kumpulan itu juga meningkatkan keterlihatan awam dengan mempamerkan metrik dan ciri kelestarian utama dalam galeri jualan pembangunan projeknya, menawarkan pembeli rumah pandangan yang jelas dan praktikal mengenai prestasi kelestarian dalam setiap pembangunan.

“Komitmen Mah Sing terhadap ketelusan ditunjukkan lagi melalui prestasi FTSE4Goodnya yang kukuh dengan kumpulan menerima penarafan empat bintang oleh Bursa Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Selari dengan komitmen terhadap pertumbuhan yang bertanggungjawab, Mah Sing akan terus mengintegrasikan kelestarian ke dalam reka bentuk dan pelaksanaan pembangunan melalui inisiatif Bangunan Hijau.

“Inisiatif ini mewakili pendekatan kumpulan terhadap inovasi produk dalam pembangunan hartanah dengan menerapkan ciri-ciri lestari melebihi keperluan kawal selia bagi mewujudkan persekitaran yang lebih hijau, lebih sihat dan berdaya tahan. 

”Ini jelas dalam kebanyakan pelancaran pelbagai projek kami yang menampilkan bangunan dan atau perbandaran diperakui GreenRE. Pertimbangan reka bentuk utama termasuk mengoptimumkan orientasi bangunan untuk mengurangkan pendedahan terus matahari, pencahayaan cekap tenaga, memasang panel solar di bumbung, melaksanakan sistem pengumpulan sisa automatik dan menyediakan stesen pengecas kenderaan elektrik,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan