SUKAN

Corat-coret Sukan SEA Thailand 2025

13/12/2025 01:00 PM

BANGKOK, 13 Dis (Bernama) -- Berikut merupakan corat-coret temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung dari 9 hingga 20 Dis:

 

VENUE PERTANDINGAN JAUH

 

Temasya Sukan SEA 2025 hadir dengan cabaran tersendiri buat petugas media yang membuat liputan di sini.

Antara isu utama ialah jarak kebanyakan venue pertandingan terletak jauh dari pusat bandar.

Berdasarkan pengalaman petugas media Malaysia, perjalanan ke beberapa venue mengambil masa lebih sejam termasuk Universiti Thammasat Kampus Rangsit di Pathum Thani yang menjadi lokasi acara badminton dan gimnastik.

Venue karate di Bangunan Ratthaprasasanabhakti pula memerlukan kira-kira 50 minit perjalanan sama seperti venue hoki lima sebelah (5s) di Stadium Hoki Royal Thai Air Force.

 

MEDIA DIMINTA SIAP LEBIH AWAL KE UPACARA PEMBUKAAN

 

Petugas media diminta bersiap lebih awal, iaitu kira-kira enam jam sebelum upacara pembukaan rasmi Sukan SEA Thailand 2025 yang berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Selasa lepas.

Petugas media terlebih dahulu diminta mendapatkan gelang tangan khas di pusat media rasmi di sini sebelum menaiki bas khas untuk ke venue upacara pembukaan itu.

Di Stadium Nasional Rajamangala, petugas media dibawa ke pusat media dahulu sebelum dibenarkan memasuki kawasan khusus kepada media di dalam stadium, dua jam sebelum upacara bermula.

Berdasarkan pengalaman petugas media, situasi itu berbeza kerana lazimnya diberikan tiket khas lebih awal dan bebas bergerak sendiri ke lokasi upacara pembukaan.

 

MAKANAN PEK JADI PILIHAN UTAMA PETUGAS MEDIA

 

Makanan dalam pek seperti nasi putih berlaukkan ikan tomyam dan burger segera menjadi pilihan petugas media untuk mengisi perut sepanjang membuat liputan di sekitar venue Sukan SEA.

Walaupun tidak timbul kebimbangan mengenai akses makanan di Bangkok, makanan segera dijual pada harga kira-kira 49 baht (RM6.36) di kedai serbaneka dan lengkap dengan logo halal menjadi penyelamat ketika jadual tugasan padat selain disebabkan pergerakan antara venue yang jauh.

 

SAPAAN “SAWADEE KRUB” CERMINAN KELEMBUTAN BUDAYA BANGKOK

 

Sapaan “sawadee krub” atau “sawadee ka” bukan sekadar kata alu-aluan, sebaliknya mencerminkan kelembutan budaya masyarakat Bangkok yang menghargai adab dan sopan santun dalam interaksi harian.

Di perhentian bas, kedai serbaneka, gerai di tepi jalan mahupun pasar malam, sapaan itu diucapkan dengan senyuman dan nada lembut serta menundukkan sedikit kepala, memberi gambaran masyarakat di Bangkok menghormati setiap individu tidak kira penduduk tempatan atau pelawat.

Bagi mereka yang berada di Bangkok untuk urusan kerja atau kunjungan singkat, sapaan itu sering menjadi detik menenangkan di tengah kesibukan kota, sekali gus melengkapkan pengalaman berada di City of Smile itu.

 

KHIDMAT URUT JADI PILIHAN PELANCONG LEPAS SEHARIAN TEROKAI BANGKOK

 

Kewujudan deretan pusat urut kaki dan refleksologi di hampir setiap kawasan tumpuan pelancong di Bangkok membolehkan ramai mendapatkan perkhidmatan itu selepas penat berjalan di pasar, tempat bersejarah atau meredah kesibukan kota.

Di kawasan seperti Sukhumvit, Silom dan sekitar Pratunam, bunyi loceng pintu kaca serta sapaan mesra tukang urut merupakan pemandangan biasa, selain harga yang ditawarkan juga berpatutan. 

Aroma minyak serai wangi yang cukup sinonim dengan rawatan tradisional Thai menimbulkan perasaan tenang semasa mendapatkan perkhidmatan itu bagi menghilangkan lenguh di bahu dan kaki sebelum menyambung pengembaraan di bandar raya itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan