KUALA LUMPUR, 12 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berhubung konflik Kemboja-Thailand.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar berkata perkara itu dibincangkan semasa beliau menerima panggilan telefon daripada Trump, yang turut membangkitkan mengenai hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
“Berhubung ketegangan di sempadan Kemboja-Thailand, saya menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala dan ASEAN.
“Malaysia kekal bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia akan memanggil Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN dalam masa terdekat, bagi menilai situasi dan menyokong langkah meredakan ketegangan di rantau ini.
“Saya turut menyampaikan penghargaan atas keterlibatan aktif Amerika Syarikat dengan ASEAN, serta keyakinan yang diberikan kepada Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025,” kata Perdana Menteri.
Konflik sempadan Kemboja-Thailand yang berlanjutan sejak seabad lepas, kembali tegang pada Julai dan membawa kepada pertempuran tentera selama lima hari.
Kedua-dua negara kemudian bersetuju untuk gencatan senjata di Kuala Lumpur pada 24 Julai, sebelum menandatangani Perjanjian Damai Kuala Lumpur pada 26 Okt iaitu semasa berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, dengan disaksikan oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN dan Trump.
Bagaimanapun, pertempuran kembali tercetus baru-baru ini, menyebabkan beberapa kematian dan ribuan penduduk kehilangan tempat tinggal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial