SUKAN

Sukan SEA 2025: Nurul Syasya Terlepas Emas, Akur Kehebatan Penembak Vietnam

14/12/2025 05:11 PM

Oleh Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 14 Dis (Bernama) -- Atlet menembak kebangsaan Nurul Syasya Nadiah Mohd Arifin gagal mempertahankan pingat emas acara 10 meter (m) air pistol wanita Sukan SEA dan terpaksa berpuas hati dengan gangsa pada temasya edisi ke-33 itu di sini, hari ini.

Pada final yang berlangsung di Lapangan Menembak Sports Authority of Thailand, Nurul Syasya terpaksa akur menduduki tempat ketiga selepas hanya mengumpul 218.7 mata sementara emas dan perak masing-masing milik penembak dari Vietnam.

Trinh Thu Vinh yang meraih gangsa ketika sukan menembak kali terakhir dipertandingkan pada edisi 2021 di Vietnam, menampilkan persembahan cemerlang apabila mengumpul 242.7 mata yang juga rekod baharu temasya sementara Nguyen Thuy Trang pada tempat kedua dengan 241.7 mata.

Sebagai rekod, Trinh menduduki tempat keempat pada final Sukan Olimpik Paris 2024.

Sementara itu, Nurul Syasya berkata prestasinya sedikit terjejas apabila kehilangan fokus pada pertengahan saingan sebelum kembali menemui rentak, namun tidak mencukupi untuk mendapat kedudukan lebih baik.

“Saya telah berikan yang terbaik, cuma ada ketika pada pertengahan final fokus sedikit terganggu. Tetapi saya cuba kejar balik untuk kekal dalam saingan dan dapat menyumbangkan gangsa untuk negara.

“Selepas ini saya perlu lebih fokus, baiki segala kelemahan serta tingkatkan prestasi dan insya-Allah mungkin keputusan akan datang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Nurul Syasya, Dina Batrisyia Adi Azhar dan Joseline Cheah Lee Yean meraih gangsa 10m air pistol berpasukan wanita selepas mengumpul keseluruhan 1,701 mata.

Emas menjadi milik trio Vietnam dibarisi Nguyen, Trinh dan Trieu Thi Hoa Hong yang mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 1,711 mata sementara Prucksakorn Tanyaporn, Saencha Kamonlak,  Champalat Natsara dari Thailand meraih perak dengan 1,702 mata.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan