PONTIAN, 16 Dis (Bernama) -- Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) menjelaskan bahawa peralatan yang terbabit dalam insiden di jeti Kompleks Tanjung Bin pada Sabtu ialah pemunggah arang batu bukannya kren.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu memaklumkan ketika kejadian pemunggah arang batu berkenaan sedang menjalani kerja penyelenggaraan dan tidak beroperasi.
Secara keseluruhan Jeti Kompleks Tanjung Bin mempunyai lima unit pemunggah arang batu, dengan satu daripadanya terjejas akibat insiden berkenaan, manakala empat unit yang lain terus beroperasi seperti biasa.
“Operasi di jeti berkenaan, serta di Tanjung Bin Power Plant dan Tanjung Bin Energy Power Plant, tidak terjejas.
“Jeti dan loji jana kuasa itu terletak berasingan, dan insiden berkenaan tidak menjejaskan operasi loji,” menurut kenyataan itu sambil memberikan jaminan kepada pihak berkepentingan bahawa kejadian berkenaan tidak menjejaskan projek sedia ada atau projek akan datang.
Menurut Malakoff, siasatan dalaman sedang dijalankan dan syarikat berkenaan bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa kawal selia berkaitan, termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.
“Memandangkan siasatan masih berjalan, terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan pada peringkat ini. Kami akan berkongsi maklumat lanjut sebaik sahaja hasil siasatan diperoleh.
“Kami komited sepenuhnya terhadap keselamatan, integriti operasi dan ketelusan, serta akan terus memberikan perkembangan terkini mengikut keperluan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial