AM

Perbanyakkan Kajian Ketamadunan Melayu - Titah Raja Permaisuri Agong

17/12/2025 10:06 AM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini menggalakkan lebih banyak kajian dijalankan berkenaan sejarah ketamadunan Melayu serta hubungannya dengan tamadun lain pada peringkat antarabangsa.

Menurut hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Raja Zarith Sofiah bertitah kajian akademik yang lebih mendalam ke atas sejarah tamadun Melayu dan penerapannya di Malaysia, akan mengukuhkan lagi jati diri bangsa.

“Dalam kita sentiasa merancang pertumbuhan dan kemajuan untuk masa hadapan, kita mesti juga melihat kepada sejarah tamadun bagi mempelajari teladan zaman dahulu. Terdapat pelbagai sumber penyelidikan di seluruh dunia, termasuk di British Library (di London).

“Ini akan mengukuhkan jati diri melalui penerapan kesedaran yang lebih mendalam tentang identiti Bangsa Melayu,” titah Seri Paduka Baginda.

Raja Permaisuri Agong bertitah demikian selepas berangkat melawat British Library di London, United Kingdom semalam.

Keberangkatan tiba Raja Permaisuri Agong dan rombongan disambut Pengelola British Library Richard Davies, Ketua Kurator Bahagian Asia Tenggara Datuk Dr Annabel Teh Gallop serta Ketua Koleksi Asia dan Afrika Luisa Elena Mengoni.

Seri Paduka Baginda turut dipersembahkan penerangan mengenai koleksi surat-surat Kesultanan Melayu, hikayat dan puisi lama, termasuk manuskrip purba Kesultanan Johor oleh Datuk Dr Annabel Teh Gallop yang juga pakar sejarah persuratan Nusantara.

Turut mengiringi Seri Paduka Baginda ialah Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Asman Shah Abd Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid, Mufti Negeri Johor Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Akademi Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor Datuk Dr Badrul Hisham Kassim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan