KANGAR, 17 Dis (Bernama) -- Seorang peniaga dan seorang pemandu lori ais masing-masing didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan memperdayakan seorang wanita melibatkan wang sumbangan berjumlah RM800.
Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi turut memerintahkan peniaga, Azizi Ahamad, 50, dan pemandu lori ais Syaharizul Sahar, 46, masing-masing menjalani hukuman penjara empat bulan bagi kedua-dua pertuduhan jika mereka gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman denda RM2,000 dan penjara dua bulan turut dikenakan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan pilihan.
Kedua-dua lelaki berkenaan didakwa bersama-sama memperdayakan wanita berusia 32 tahun itu bahawa wang sumbangan berjumlah RM800 akan diserahkan kepada orang kampung di Kampung Bakau berhubung perojek naik taraf jalan, sedangkan wang itu tidak diserahkan kepada orang kampung terbabit.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada 12.15 tengah hari, 3 Sept 2004 dan 4 Sept tahun sama kira-kira 4.25 petang di Kampung Bakau di sini, mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau didenda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, wanita itu pergi ke Tapak Projek Kampung Bakau di sini untuk berjumpa dengan Azizi dan Syaharizul pada 12.15 tengah hari, 3 Sept 2024 dan semasa perjumpaan itu wanita berkenaan menyerahkan dokumen Siap Kerja iaitu Kerja-Kerja Naik Taraf Premix Jalan Tepi Sungai di Kampung Bakau kepada Azizi untuk mendapatkan tandatangannya selaku Pengerusi Majlis Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (MPKK) di kampung itu bagi proses tuntutan bayaran kerja di Bahagian Pentadbiran Daerah, Kerajaan Negeri Perlis.
Dalam perjumpaan itu, Syaharizul meminta wang daripada mangsa bagi pihak Azizi sebanyak RM1,000 atas alasan untuk memberikan sumbangan kepada orang kampung berkenaan.
Wanita itu kemudiannya memberikan RM300 kepada Azizi, namun Syaharizul memberitahu mangsa bahawa wang itu tidak mencukupi.
Pada 4 Sept 2024, wanita itu hadir di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perlis dan pegawai SPRM membuat rakaman suara (taping) ke atas nombor telefon Azizi dan hasil taping itu, Azizi bersetuju menerima RM500 sebelum wang perangkap diserahkan kepada suami wanita berkenaan bagi tujuan penyerahan kepada Azizi.
Semasa tangkapan, wang perangkap tersebut berada dalam poket seluar sebelah kanan Azizi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Fariz Abdul Hamid dan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis S. Sujatha, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim dan Nur Ayuni Ahmad.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial