AM

Banjir: PPS Berisiko Ditenggelami Air, Lebih 200 Mangsa PPS Seri Damai Dipindahkan

17/12/2025 10:46 AM

KUANTAN, 17 Dis (Bernama) -- Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memindahkan lebih 200 mangsa banjir yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Seri Damai di sini ke PPS Sekolah Kebangsaan Jaya Gading, malam tadi.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuantan Mejar (PA) Zahidi Zainudin berkata operasi pemindahan itu, dilaksanakan berikutan PPS asal terpaksa ditutup kerana berisiko ditenggelami air dan bilangan mangsa yang semakin bertambah.

“Operasi berkenaan bermula kira-kira 10 malam dan selesai pada 1 pagi tadi, dengan mangsa dipindahkan menggunakan lori,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata selain APM, agensi lain yang terlibat melaksanakan operasi dalam keadaan hujan berterusan itu ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang dan pasukan polis. 

Zahidi berkata operasi menyelamat penduduk yang terjejas banjir diteruskan hari ini. 

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang memaklumkan Jalan Pekan-Kuantan berhampiran Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS) ditutup untuk semua jenis kenderaan pada 7 pagi tadi.

Selain itu, setakat 8.30 pagi Jalan RTK Ekonomi dan Jalan Air Hitam di sini turut ditutup untuk semua jenis kenderaan manakala Jalan Sri Damai dan Jalan Samsudin di sini ditutup untuk penggunaan kenderaan ringan.

Menurut aplikasi Infobencana JKM, jumlah mangsa banjir di Pahang semakin meningkat dengan 2,206 mangsa daripada 695 keluarga ditempatkan di 22 PPS di Kuantan, Maran dan Rompin setakat 9.30 pagi berbanding 2,077 mangsa daripada 648 keluarga ditempatkan di 18 PPS di tiga daerah itu pada 8.30 pagi tadi. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan