KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Keyakinan terhadap ASEAN kekal kukuh walaupun terdapat perkembangan dan perhatian yang meningkat terhadap ketegangan serantau, termasuk situasi antara Thailand dan Kemboja.
Presiden Persatuan Perniagaan Kemboja-Malaysia (MCBA) Datuk Seri Ricky Yaw berkata struktur asas dan tarikan jangka panjang Komuniti Ekonomi ASEAN kekal utuh.
“Kadar pelaburan yang sederhana mencerminkan pengurusan risiko yang berhemat dan kepelbagaian serta bukan kehilangan keyakinan terhadap rantau ini.
“Perniagaan kurang bimbang mengenai geopolitik tersebut dan lebih tertumpu kepada sama ada perkembangan sedemikian boleh menjejaskan keselamatan pelaburan, kestabilan perniagaan, perdagangan rentas sempadan dan pelaksanaan rantaian bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yaw berkata tiada pengeluaran pelaburan asing dalam jumlah yang besar dari Kemboja atau rantau ASEAN berdasarkan pemerhatian dan maklum balas daripada syarikat anggota.
Bagaimanapun, katanya pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati apabila membuat keputusan pelaburan baharu, terutamanya yang melibatkan komitmen modal jangka panjang.
“Di bawah persekitaran semasa, perniagaan lebih memberi perhatian kepada risiko operasi yang praktikal, termasuk logistik rentas sempadan dan kecekapan kastam, pelaksanaan projek dan kitaran pembayaran serta turun naik mata wang dan kos.
“Faktor ini mendorong syarikat untuk menilai semula struktur rantaian bekalan dan strategi operasi serantau untuk meningkatkan daya tahan dan fleksibiliti,” katanya.
Beliau berkata sebarang kelembapan dalam aliran perdagangan Thailand-Kemboja boleh membawa kepada pengagihan semula pesanan dan pelaburan, dengan anggota MCBA telah menilai lokasi alternatif ASEAN.
“Dalam konteks ini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik — disokong oleh kestabilan politik, institusi yang matang, persekitaran perniagaan yang kondusif dan hubungan dua hala yang kukuh dengan Kemboja — untuk meraih peluang baharu dalam pembuatan, logistik, perkhidmatan profesional dan penyelarasan serantau,” katanya.
Beliau memberi jaminan kepada anggotanya bahawa ketegangan semasa hanya terhad kepada kawasan sempadan tertentu dan tidak menjejaskan bandar-bandar utama, operasi perniagaan atau aktiviti komersial di Kemboja.
“Walaupun wujud cabaran daripada ketidaktentuan serantau, situasi itu turut memperkukuh kepentingan pengurusan risiko yang baik dan perancangan jangka panjang.
“Selagi situasi tidak menjadi lebih serius, ASEAN akan kekal sebagai rantau utama untuk pengembangan perniagaan pada peringkat global,” katanya, sambil menambah MCBA merancang untuk menganjurkan pameran di Kemboja pada tahun depan, menyediakan platform kepada syarikat Malaysia untuk mempamerkan produk mereka dan meninjau kerjasama baharu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial