EKONOMI

Paramount Beli Tanah Untuk Projek Perumahan Pada Harga RM579 Juta

17/12/2025 09:20 PM

KUALA LUMPUR, 17 Dis (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh Paramount Corporation Bhd, Prima Kuasa Sdn Bhd telah memeterai perjanjian jual beli dengan SJ Properties Sdn Bhd untuk memperoleh 19.62 hektar (48.49 ekar) bagi projek perumahan pada harga RM579 juta.

Paramount dalam satu kenyataan hari ini berkata pembelian pada harga RM113.5 juta itu melibatkan tiga bidang tanah pegangan pajakan bersebelahan di Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling Jaya di Selangor.

“Ia adalah satu langkah strategik untuk menambah simpanan tanah di lokasi yang berpotensi menghasilkan pertumbuhan kukuh dan di mana syarikat ini sudah mempunyai reputasi kukuh,” kata kenyataan itu.

Pembangunan selama enam tahun itu terdiri daripada rumah teres dua tingkat, rumah jenis townhouse dan unit kondominium aras rendah telah pun diberikan perintah pembangunan.

“Ini akan mengukuhkan lagi nilai pembangunan kasar (GDV) semasa Paramount sebanyak RM5.04 bilion dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan syarikat Paramount,” katanya.

Tapak Seksyen U9 di Shah Alam berada dalam kawasan pertumbuhan baharu di sepanjang Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), kira-kira tiga kilometer (km) dari Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam dan persimpangan GCE.

Cahaya SPK, Sunway Kayangan, Denai Alam dan Bandar Elmina (perbandaran dilengkapi dengan pelbagai kemudahan) berada dalam radius 10 km dari tapak tersebut, kata kenyataan itu.

Urus niaga itu akan dibiayai melalui gabungan dana dijana secara dalaman dan pinjaman bank.

Kehadiran Paramount dari segi pembangunan projek di Shah Alam adalah kukuh sejak dua dekad lepas, diterajui pembangunan perbandaran Kemuning Utama seluas 212 hektar (524 ekar), 8.1 hektar (20 ekar) metropolis pendidikan Utropolis Glenmarie dan pembangunan komersial Sekitar26 Enterprise seluas 12.14 hektar (30 ekar).

"Kami amat teliti dalam setiap projek pembinaan, syarikat ini mempunyai rekod prestasi baik. Pendekatan kami untuk meninggalkan legasi di kawasan yang kami fahami dengan baik mengukuhkan kepercayaan kami peroleh dengan pembeli rumah dan pihak berkepentingan," kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Jeffrey Chew.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan