AM

JKM Pulau Pinang Cari Waris Kanak-kanak, Bayi Ditinggalkan

17/12/2025 08:45 PM

BUKIT MERTAJAM, 17 Dis (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sedang mengesan ibu bapa atau waris kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dikenali sebagai Zaki.

JKM dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima rujukan kes itu daripada Jabatan Imigresen negeri pada 2 Dis lepas dengan kanak-kanak berkenaan ditemukan bersama pengasuh, dikenali sebagai Antika Tiara, seorang warga Indonesia semasa operasi di sebuah rumah di Perkampungan Berapit, dekat sini.

"Kanak-kanak itu telah diletakkan dalam jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai di bawah peruntukan Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 mulai 4 Dis untuk siasatan Pelindung selanjutnya," menurut kenyataan itu.

JKM mohon kerjasama ibu atau waris kanak-kanak itu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Jalan Ciku, di sini atau menghubungi Pelindung kes ini, Norhasliza Abdullah melalui talian 04-5382584 /04-5385705 agar dapat membantu mahkamah membuat keputusan terbaik.

Sementara itu, JKM juga sedang mengesan ibu bapa atau waris kepada seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan yang ditinggalkan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini sejak Mac lepas.

JKM memaklumkan bayi itu dilahirkan di hospital swasta di sini pada 12 Mac dan dirujuk ke HSJ selepas dikesan mengalami Sindrom Pierre Robin (PRS) dan sejak itu, ibu kandungnya yang juga warga Indonesia telah menghilangkan diri dan usaha menjejakinya juga gagal. 

Waris atau orang ramai yang mengenali ibu bapa kandung bayi itu yang masih dirawat di HSJ diminta tampil ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah SPT atau menghubungi Pelindung kes ini, Siti Zulaikha di talian 04-538 2584 /019-761 0079. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan