AM

UPTM Perlu Terus Perkasa Pendidikan Profesional Berteraskan Industri - Ahmad Zahid

18/12/2025 03:15 PM

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) terus memainkan peranan melahirkan barisan profesional masa depan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi juga kaya dengan nilai dan kemahiran tinggi selari keperluan industri.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hasrat itu seiring dengan falsafah “Applied Professional Education” diterapkan UPTM yang menyasarkan bukan sekadar melahirkan graduan berorientasikan peperiksaan, malah membina modal insan berilmu, integriti dan iltizam dalam menyumbang kepada pembangunan negara.

Beliau berkata pensijilan profesional bagi hampir 70 peratus program serta status Platinum Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) menjadi lambang komitmen terhadap kecemerlangan dan keberanian UPTM untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ia diperkukuh dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 93.4 peratus, berbanding 91.5 peratus peratus pada tahun sebelumnya, sekali gus mencerminkan bahawa pendekatan ‘applied and industry-ready’ itu hidup dalam DNA UPTM. 

“Saya mahu angka ini melonjak kepada 95 peratus tahun hadapan dengan program yang lebih berstruktur, lebih strategik, lebih berakar pada realiti industri,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen UPTM ketiga di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang serta Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata pelancaran program Ijazah Sarjana Muda Kecerdasan Buatan dengan kepujian menunjukkan UPTM mengambil langkah strategik yang sejajar dengan agenda pendigitalan negara.

Beliau juga mahu universiti itu terus membina jaringan antarabangsa dan menjalin kolaborasi bersama pemain industri, di samping meningkatkan pengambilan pelajar yang kini mencecah kira-kira 8,000 orang.

“Hasrat besar saya ialah mahu melihat UPTM menjadi mercu tanda universiti MARA, sebuah universiti yang memperkasakan komuniti, memperluas peluang dan mempersembahkan Malaysia di pentas dunia sebagai negara yang melahirkan profesional dengan jiwa dan jati diri,” katanya.

Ahmad Zahir berkata keutamaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) adalah memastikan modal insan luar bandar dibangunkan secara menyeluruh menerusi MARA, dengan peranan UPTM amat signifikan dalam membuka lebih banyak peluang kemajuan melalui pendidikan.

“Saya juga mahu UPTM memperluas kerjasama bukan hanya dengan MARA, tetapi juga bersama agensi di bawah KKDW seperti Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) supaya manfaat pembangunan modal insan dapat dirasai secara lebih menyeluruh dan inklusif,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan