JENAYAH & MAHKAMAH

Warden Penjara Ditemukan Maut Ketika Pulang Periksa Rumah Dinaiki Air

18/12/2025 03:41 PM

KUANTAN, 18 Dis (Bernama) -- Seorang Warden Penjara Penor ditemukan meninggal dunia selepas pulang untuk memeriksa keadaan rumahnya yang dinaiki air di Taman Seri Inderapura di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata mangsa Muhammad Hariri Kamarudin, 26, yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina Chong Hwa, dilaporkan keluar bersendirian kira-kira 1 pagi tadi untuk melihat keadaan rumah keluarganya yang dinaiki air sedalam kira-kira satu kaki.

Beliau berkata bapanya telah menghubungi mangsa selepas mendapati Muhammad Hariri masih belum kembali ke PPS hingga 10 pagi tadi, sebelum pulang ke rumah untuk mencari anaknya itu. 

“Bapa mangsa yang kembali ke rumah menemukan mangsa dalam keadaan tertiarap di ruang tamu yang dipenuhi air sebelum membawa mangsa ke PPS menggunakan kenderaan sendiri dengan bantuan orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Ashari berkata pihaknya ke PPS berkenaan pada 11 pagi  dan mendapati mangsa berada dalam kenderaan Mitsubishi Triton sebelum dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat. 

“Mayat mangsa tiba di HTAA pada kira-kira 1 tengah hari dan bedah siasat akan dijalankan pada 2 petang ini. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

-- BERNAMA 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan