DUNIA

Ringgit Dibuka Tinggi Sedikit Berbanding Dolar AS

19/12/2025 09:31 AM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pada Jumaat, kekal di sekitar paras 4.08, disokong oleh jangkaan yang semakin meningkat terhadap pendirian dasar monetari AS yang kurang agresif serta perkembangan terkini dasar bank pusat global.

Pada 8 pagi, ringgit mengukuh kepada 4.0820/0940 berbanding dolar AS 4.0840/0880 ketika ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jangkaan terhadap penurunan kadar faedah pada 2026 semakin mendapat perhatian susulan data inflasi AS yang lebih rendah daripada jangkaan.

Beliau berkata inflasi AS bagi November dilaporkan berada di bawah jangkaan pada 2.7 peratus, berbanding anggaran konsensus sebanyak 3.1 peratus. Inflasi teras turut menyederhana kepada 2.6 peratus daripada 3.0 peratus pada September.

“Bagaimanapun, data bagi Oktober tidak tersedia berikutan penutupan kerajaan selama 43 hari bermula Oktober, yang menyebabkan pengiraan data bersiri seperti angka bulan ke bulan tidak dapat dilakukan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, beliau berkata isyarat dasar monetari global adalah bercampur, dengan Bank of England menurunkan kadar faedahnya sebanyak 25 mata asas kepada 3.75 peratus, menandakan penurunan keempat tahun ini susulan penyederhanaan inflasi yang berterusan.

Bank Pusat Eropah pula mengekalkan kadar dasar tidak berubah susulan penilaian yang lebih positif terhadap pertumbuhan dan inflasi pada tahun hadapan.

“Walaupun inflasi AS lebih rendah, Indeks Dolar AS meningkat 0.07 peratus kepada 98.441 mata semalaman, manakala ringgit ditutup 0.09 peratus lebih tinggi pada Khamis, mengatasi kebanyakan mata wang Asia.

“Kemungkinan hari ini ringgit akan menguji penembusan paras RM4.08, memandangkan asas bagi penurunan kadar dana persekutuan AS pada 2026 semakin kukuh,” katanya.

Pada pembukaan dagangan, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding pound Britain kepada 5.4629/4790 daripada 5.4513/4567 ketika ditutup pada Khamis dan turun berbanding yen Jepun kepada 2.6234/6313 daripada 2.6188/6217, namun meningkat berbanding euro kepada 4.7861/8002 daripada 4.7869/7915.

Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1639/1736 daripada 3.1620/1653, turun berbanding baht Thailand kepada 12.9810/13.0287 daripada 12.9750/9935, hampir mendatar berbanding peso Filipina pada 6.97/6.99 daripada 6.97/6.98, tetapi meningkat sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 244.1/244.9 daripada 244.2/244.5 sebelum ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan