EKONOMI

Penilaian IMF Cerminkan Disiplin Fikal Malaysia, Komitmen Terhadap Pembaharuan - Amir Hamzah

19/12/2025 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Penilaian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) terhadap prestasi ekonomi Malaysia mencerminkan pengurusan fiskal negara yang berhemat, permintaan domestik kukuh dan komitmen terhadap pembaharuan struktur di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata pengiktirafan IMF terhadap Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 dan pelan tindakan kerajaan yang jelas untuk mengurangkan defisit fiskal menggariskan disiplin fiskal Malaysia dan komitmen terhadap kestabilan jangka panjang dan pertumbuhan mampan.

“Dengan inflasi kekal rendah, ringgit muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik, pelaburan asing yang diluluskan dalam paras tertinggi dan inisiatif berpandangan ke hadapan di bawah Rancangan Malaysia ke-13, negara berada pada kedudukan baik untuk mengharungi ketidakpastian global, pada masa sama memajukan pembangunan inklusif dan integrasi ASEAN secara lebih mendalam,” katanya dalam catatan di LinkedIn hari ini.

Terdahulu, Ketua Misi IMF untuk Malaysia, Masahiro Nozaki berkata semasa rundingan dengan pihak berkuasa Malaysia dan pihak berkepentingan lain bahawa komitmen Malaysia terhadap pengurusan fiskal berhemat telah ditunjukkan melalui kelulusan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal yang penting pada 2023 dan pengurangan defisit fiskal yang stabil sejak 2022.

Nozaki berkata kakitangan IMF menyambut baik rancangan pihak berkuasa untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2026 dan kepada 3.0 peratus daripada KDNK menjelang 2028.

“Terus membina semula penampan fiskal menerusi langkah-langkah hasil dan perbelanjaan yang berkualiti tinggi dan mampan kekal kritikal, memandangkan hutang kerajaan persekutuan, berada pada 64.6 peratus daripada KDNK pada akhir 2024, kekal melebihi paras pra-pandemik.

“Kakitangan IMF juga mengalu-alukan usaha berterusan untuk memperkukuh ketelusan fiskal dan kecekapan perbelanjaan termasuk kelulusan Akta Perolehan Kerajaan yang baharu. Inflasi dengan purata 1.4 peratus sepanjang tempoh Januari–Oktober 2025, diunjurkan kekal stabil dan secara beransur-ansur kembali kepada purata jangka panjangnya iaitu 2.0 peratus,” katanya.

Dalam konteks ini, Nozaki berkata kakitangan IMF menilai pendirian dasar monetari ketika ini adalah bertepatan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan