JENAYAH & MAHKAMAH

Laporan Pemeriksaan Mental Remaja Bunuh Pelajar Sekolah Diketahui 16 Jan Depan

19/12/2025 12:03 PM

PETALING JAYA, 19 Dis (Bernama) -- Mahkamah Majistret hari ini menetapkan 16 Jan depan untuk mengetahui keputusan laporan pemeriksaan mental seorang remaja lelaki yang didakwa membunuh pelajar perempuan berumur 16 tahun di tandas sebuah sekolah menengah di Bandar Utama pada Oktober lepas. 

Peguam Kitson Foong yang mewakili tertuduh berusia 14 tahun itu berkata Majistret Amira Sariaty Zainal menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk melanjutkan tempoh bagi mendapatkan laporan berkenaan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

"Pakar perubatan di hospital itu memaklumkan mereka memerlukan lebih masa untuk menyediakan laporan itu kerana perlu mengambil kira seperti temu bual dengan ahli keluarga remaja itu, dokumentasi sejarah tingkah lakunya di rumah dan sekolah dengan bantuan pegawai penyiasat. 

"Oleh itu, mahkamah membenarkan lanjutan masa hampir sebulan dan berharap laporan itu dapat disiapkan pada prosiding akan datang. Anak guam tidak hadir pada prosiding hari ini kerana masih menjalani rawatan dan penilaian di hospital terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di luar mahkamah selepas prosiding sebutan semula kes yang dijalankan secara tertutup kerana ia melibatkan pesalah juvana.

Foong berkata laporan mental anak guamnya sangat penting bagi menentukan tahap kecerdasan tertuduh sebelum mahkamah mengambil pengakuan bersalah di Mahkamah Tinggi atau menetapkan tarikh perbicaraan atas pertuduhan membunuh.

“Ketika ini remaja terbabit dalam keadaan baik dan menunjukkan perkembangan positif dalam proses pemulihan yang dijalaninya. Dia menunjukkan tindak balas yang baik sepanjang rawatan,” kata peguam itu.

Pada 22 Okt lepas, pelajar itu didakwa membunuh pelajar perempuan berumur 16 tahun di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama antara 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Okt lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu kerana kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun, serta hendaklah dikenakan hukuman sebat tidak lebih 12 sebatan jika tidak dihukum gantung.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan