EKONOMI

Harga MSM Dijangka Kekal Dalam Julat Kecil Antara RM3,800 - RM4,100 Satu Tan Pada Januari 2026 - MPOC

19/12/2025 04:35 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia dijangka kekal dalam jajaran kecil antara RM3,800 hingga RM4,100 satu tan pada Januari 2026, disokong oleh prospek penawaran dan permintaan yang seimbang, menurut Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MPOC berkata walaupun suku pertama lazimnya adalah tempoh pengeluaran yang rendah secara bermusim, permintaan dijangka meningkat menjelang Tahun Baharu Lunar dan Ramadan sekali gus menyokong pengurangan paras stok.

“Bagaimanapun, kelemahan daripada pasaran tenaga serta bekalan minyak biji yang banyak, dijangka mengehadkan sebarang pemulihan harga yang berterusan sekali gus mengekalkan harga dalam julat dagangan yang kecil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut MPOC eksport minyak sawit Malaysia diunjurkan meningkat kepada 16.2 juta tan pada 2026 manakala pengeluaran dijangka menyusut kepada 19.7 juta tan apabila pokok sawit memasuki fasa rehat selepas mencatat prestasi yang kukuh pada 2025.

Pengeluaran minyak sawit Malaysia menyusut sebanyak 108,000 tan atau 5.3 peratus bulan ke bulan kepada 1.93 juta tan pada November.

Eksport juga lebih rendah daripada jangkaan dengan mencecah 1.21 juta tan, sebahagian besarnya disebabkan oleh permintaan yang lemah dari Sub-Sahara Afrika, yang mengurangkan import pada November selepas rantau itu mengimport hampir 600,000 tan pada Oktober.

Permintaan dari Kesatuan Eropah (EU) turut berkurangan selepas ia mengesahkan penangguhan selama 12 bulan lagi bagi melaksanakan Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sekali gus menghapuskan keperluan untuk pengimport menyimpan stok sebagai langkah berjaga-jaga.

Gabungan pengeluaran yang kukuh dan eksport yang lemah telah mendorong stok minyak sawit Malaysia kepada 2.83 juta tan pada November, paras tertinggi yang dicapai sejak Mac 2019.

Di peringkat global, MPOC berkata di Amerika Syarikat (AS), harga minyak kacang soya menyusut ke paras terendah dalam tempoh lima bulan iaitu US$1,130 satu tan kerana Agensi Perlindungan Alam Sekitar AS (EPA) menjangka dasar biobahan api Presiden Trump 2026, yang mengutamakan penggunaan minyak kacang soya yang dihasilkan dalam negara, hanya akan dimuktamadkan pada suku pertama 2026.

“Pengeluaran kacang soya global diunjurkan mendatar pada 424 juta tan pada 2026. Bagaimanapun, bekalan kacang soya yang mencukupi dijangka terus memberi kesan kepada sentimen pasaran memandangkan ketersediaan minyak biji yang masih banyak,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan