Daripada Amiril Muttaqien Meketar
BANGKOK, 19 Dis (Bernama) -- Selepas mencapai sasaran 200 pingat pada Sukan SEA 2025 semalam, kontinjen negara terus mencatat pencapaian positif dengan memungut 56 pingat emas setakat ini.
Pencapaian itu menyaksikan Malaysia mencatat rekod pulangan emas terbaik dalam tempoh enam tahun pada temasya sukan dwitahunan itu selepas mengatasi pungutan 55 pingat emas dibawa pulang dari Filipina pada 2019.
Berbaki sehari sebelum Sukan SEA kali ini melabuhkan tirai secara rasmi di Stadium Nasional Rajamangala di sini malam esok, kejayaan atlet negara merangkul 229 pingat secara keseluruhan setakat 10 malam waktu tempatan, yang turut merangkumi 57 perak dan 116 gangsa juga adalah rekod terbaharu dipecahkan kontinjen Malaysia di luar Kuala Lumpur.
Pencapaian dilakar atlet negara setakat ini telah mengatasi jumlah 216 pingat secara keseluruhan dibawa pulang dari edisi 2007 di Korat, Thailand.
Berdasarkan carta kedudukan pingat, Malaysia kini melonjak satu anak tangga untuk berada di kedudukan keempat dan mengatasi negara jiran Singapura yang mengumpul 52 emas, 60 perak dan 86 gangsa.
Tuan rumah Thailand pula hampir pasti ditabalkan selaku juara keseluruhan dengan 232 emas, 154 perak dan 106 gangsa, jauh meninggalkan pencabar Indonesia (91-111-129) dan Vietnam mengisi kedudukan tiga teratas (86-79-110).
Dalam pada itu, hari kesepuluh temasya menyaksikan Malaysia menambah koleksi 10 lagi pingat emas termasuk masing-masing dua dari sukan skuasy, hoki padang dan terjun.
Sukan lain yang tidak ketinggalan menyumbang pingat emas adalah menembak, berbasikal trek, boling dan ekuestrian polo.
Tumpuan esok pula terarah kepada skuad takraw negara dalam acara regu lelaki yang bakal menentukan slot ke akhir menentang Indonesia pada peringkat separuh akhir di Gimnasium Stadium Nakhon Pathom, kira-kira satu jam setengah dari pusat bandar.
Malaysia akan turun berentap dalam acara regu wanita, juga menentang Indonesia.
Temasya Sukan SEA 2025 berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini melibatkan dua wilayah, iaitu Bangkok dan Chonburi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial