KANGAR, 19 Dis (Bernama) -- Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sedang melaksanakan projek pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan Kangar Jaya dan Terminal Perlis Sentral di sini, dalam usaha memperkukuh tahap keselamatan awam dan mewujudkan persekitaran bandar lebih selamat.
Yang Dipertua MPK Affendi Rajini Kanth berkata pelaksanaan projek perintis melalui peruntukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berjumlah RM300,000 itu, melibatkan pemasangan sembilan unit CCTV dan dihubungkan secara bersepadu dengan Perlis Integrated Command Centre (PiCC) di Jejawi, sekali gus membolehkan pemantauan dilakukan secara menyeluruh menerusi satu pusat kawalan.
“Projek ini akan berfungsi sebagai one stop centre untuk memantau semua pergerakan atau sebarang insiden yang berlaku di kawasan Kangar Jaya dan Terminal Perlis Sentral. Ia membolehkan pasukan responsif bertindak dengan cepat,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan praperasmian pusat beli-belah baharu di Perlis, Kangar Jaya Mall di sini hari ini.
Affendi berkata pemasangan CCTV itu turut merangkumi beberapa komponen projek seperti sistem rangkaian komunikasi, pembesar suara, papan tanda talian kecemasan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lampu solar LED yang akan menerangi keseluruhan kawasan termasuk laluan belakang sekali gus meningkatkan tahap penglihatan dan keselamatan terutama pada waktu malam.
“Dengan pencahayaan yang mencukupi dan pemantauan CCTV, orang awam akan berasa lebih selamat untuk beriadah dan bergerak pada waktu malam. Rekod kejadian juga dapat disimpan sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata projek itu dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari depan selepas kerja pengujian akhir diselesaikan akhir bulan ini dengan pemantauan dijalankan selama 24 jam oleh petugas yang dilantik.
Affendi berkata MPK bercadang memperluaskan projek pemasangan CCTV itu ke kawasan lain seperti Arau, Padang Besar dan Kuala Perlis sebagai sokongan kepada usaha menjadikan kawasan berkenaan lebih selamat dan terkawal sekiranya projek program bandar selamat di Kangar itu berjaya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial