BUTTERWORTH, 19 Dis (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung kejadian kebakaran yang mengorbankan seorang wanita dan anak angkatnya di Taman Rathna, Telok Air Tawar, di sini pda 10 Dis yang dipercayai mempunyai unsur jenayah.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata lelaki berusia 20-an yang juga anak kepada wanita itu, direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 25 Dis bagi membantu siasatan.
“Siasatan polis mendapati kebakaran yang mengorbankan dua mangsa tersebut mempunyai unsur jenayah dan susulan itu, kita menahan lelaki berkenaan yang mempunyai hubungan keluargaan dengan mangsa bagi membantu siasatan kes itu.
“Polis telah mendapat perintah reman ke atas lelaki itu yang ketika ini masih menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) dan siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau memaklumkan mayat wanita dan anak angkatnya masih ditempatkan di Unit Forensik Hospital Kepala Batas (HKB) dan belum boleh dituntut ahli keluarganya kerana masih menunggu ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk pengesahan rasmi.
Dalam kejadian itu, Hayani Yaakob, 50-an, dan anak angkat perempuan dikenali sebagai Andra berusia lima tahun, rentung akibat terperangkap di dalam rumah berkenaan, manakala anak lelakinya cedera dihempap struktur bumbung yang runtuh.
Media melaporkan bomba menerima panggilan pada 9.41 pagi dan mayat kedua-dua mangsa dijumpai di ruang tamu berhampiran pintu utama, manakala anak lelakinya ditemukan di kawasan pintu dapur sebelum dibawa ke HSJ untuk rawatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial