DUNIA

Kemboja Sasar Jadi Destinasi Pelancongan Premium, Teroka Pasaran Baharu Di Timur Tengah

20/12/2025 01:25 PM

Oleh Vijian Paramasivam

PHNOM PENH, 20 Dis (Bernama) -- Kemboja kini giat meneroka pasaran pelancongan baharu di Timur Tengah bagi mempromosikan negara itu sebagai sebuah destinasi pelancongan premium di Asia Tenggara.

Kemasukan syarikat penerbangan Timur Tengah seperti Emirates, Etihad, Qatar Airways dan Turkish Airlines secara signifikan memperkukuh kesalinghubungan global Kemboja dengan menghubungkan negara itu ke hab utama di Timur Tengah, Eropah dan kawasan lain.

Lembaga Pelancongan Kemboja (CTB) menyifatkan perluasan rangkaian udara itu bakal memperkukuh kedudukan negara berkenaan sebagai destinasi kebudayaan premium yang sedang pesat membangun di rantau ini.

"Kemudahan akses yang ditambah baik ini membantu mempelbagaikan pasaran sumber melampaui ketibaan serantau tradisional, menarik lebih ramai pelancong jarak jauh yang berbelanja tinggi, serta menyokong sektor pelancongan MICE (Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran) serta perjalanan perniagaan.

"Ia juga akan memperkukuh keyakinan dalam kalangan pelabur antarabangsa dan pengusaha pelancongan," kata Ketua Pegawai Eksekutif CTB, Kim Minea kepada Bernama baru-baru ini.

Turkish Airlines telah melancarkan penerbangan langsung dari Istanbul ke Phnom Penh pada 11 Disember lepas, sekali gus memudahkan perjalanan dari Eropah ke Kemboja yang kaya dengan pelbagai warisan budaya.

Segmen pelancongan Muslim kini berkembang pesat di seluruh dunia. Indeks Pelancongan Muslim Global Mastercard-CrescentRating 2025 mengunjurkan pengembara antarabangsa Muslim akan meningkat kepada 186 juta orang tahun ini.

Ramalan jangka panjang pula menunjukkan angka luar biasa sebanyak 245 juta pengembara Muslim menjelang 2030 dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM941 bilion (US$230 bilion).

Sebagai ekonomi yang bergantung kepada pelancongan, Kemboja meletakkan kedudukannya sebagai destinasi inklusif yang mengalu-alukan semua pengembara termasuk pelawat Muslim.

Minea berkata objektif utamanya adalah untuk memastikan keselesaan, rasa hormat dan kemudahan akses bagi pengembara daripada semua agama, sambil terus mempamerkan kekayaan warisan budaya, sejarah, gastronomi dan tarikan semula jadi Kemboja.

"Kemboja sudah mempunyai ekosistem pelancongan mesra halal yang semakin berkembang. Kerajaan Diraja Kemboja dan rakan kongsi sektor swasta bekerjasama untuk meningkatkan perkhidmatan patuh halal, termasuk hotel mesra Muslim, restoran diperakui halal dan kemudahan tempat solat di destinasi pelancongan utama," katanya.

Kira-kira 4.4 juta pelancong asing melawat Kemboja dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.

Lapangan Terbang Antarabangsa Techo bernilai RM6 bilion (US$1.5 bilion) yang mula beroperasi pada September lepas kini bersedia menerima pengendali penerbangan premium dengan kemudahan modennya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen Pelancongan Kemboja, Chhay Sivlin memberitahu Bernama bahawa kemasukan syarikat penerbangan bertaraf dunia merupakan petanda keyakinan yang kuat terhadap potensi pelancongan Kemboja serta infrastruktur penerbangan baharu yang moden.

“Keyakinan ini selanjutnya mampu menarik pelaburan asing ke dalam sektor pelancongan dan hospitaliti,” katanya. 

Beliau berkata penerbangan berkenaan menyediakan "jambatan udara" penting bagi pelancong antarabangsa menerusi kesalinghubungan yang lancar dan reputasi baik yang telah lama dibina.

Selain itu, "Pelan Pembangunan Pelancongan Muslim" Kemboja kini sedang membina infrastruktur sedia pelancongan yang penting bagi menyambut ketibaan pengembara Muslim.

-- BERNAMA  


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan