SUKAN

Tiga Emas Muay Thai Pacu Pembinaan Legasi Menjelang Sukan Sea 2027 - Muhammad Shahnaz

20/12/2025 01:53 PM

Daripada Ahmad Nazrin Syahmi Mohamad Arif

BANGKOK, 20 Dis (Bernama) -- Kejayaan skuad Muay Thai negara membawa pulang keseluruhan 10 pingat termasuk tiga emas pada Sukan SEA Thailand 2025 di sini, menjadi bukti awal pembinaan legasi sukan tempur itu ke arah penganjuran edisi 2027 di laman sendiri.

Presiden Persatuan Muay Thai Malaysia (PMM) Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata pencapaian keseluruhan daripada Muay Thai yang juga bukan sukan teras, disifatkan sebagai satu kejayaan besar yang perlu diterjemah dengan memberi tumpuan kepada pembangunan atlet muda dan pelapis.

“Kita selalunya kalau menang pingat, kita nak legasi. Legasi maksudnya kita nak lagi ramai anak muda sertai sukan Muay Thai dan lebih ramai atlet pelapis dilahirkan.

“Apabila kita buat kejohanan remaja kebangsaan ada ribuan atlet, jadi benda ini (kejayaan di Sukan SEA) akan jadi motivasi untuk mereka pergi ke peringkat seterusnya,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurut Muhammad Shahnaz, kejayaan meraih tiga emas turut mengukuhkan kedudukan PMM dalam mencadangkan lebih banyak kategori dipertandingkan pada edisi 2027.

Beliau berkata penentuan kategori akan dilaksanakan secara strategik, namun tetap berpaksikan prinsip kesukanan.

“Pada 2017 kita hanya ada lima kategori lelaki saja, kali ini (2027) saya rasa boleh buat lebih daripada 10 kategori dan MASOC (Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia), MSN (Majlis Sukan Negara) dan MOM (Majlis Olimpik Malaysia) tiada masalah sebab kita dah buktikan kita boleh dapat tiga emas.

“Kalau kita tuan rumah dan Thailand pesaing utama, sudah tentu kita nak kurangkan kategori yang mereka boleh menang banyak. Itu strategi untuk mana-mana sukan, tapi kita tetap buka kategori itu untuk negara lain demi keadilan dan semangat dalam sukan,” katanya.

Pada edisi kali ini, kem Muay Thai negara mencipta sensasi apabila merangkul tiga emas masing-masing disumbangkan Angie Yan Jia Chi dalam acara Wai Kru wanita, Wassof Rujiman (54 kilogram (kg) lelaki) dan Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar dalam kategori 57kg lelaki.

Selain itu, Malaysia turut merangkul tiga perak menerusi Eva Anatasia Warren dalam kategori 48kg wanita, Insyad Rumijam (51kg lelaki) dan Nur Amisha Azrilrizal dalam saingan 51kg wanita.

Pencapaian tiga emas, tiga perak dan empat gangsa menyaksikan peningkatan dicatat kem negara selepas hanya mengutip masing-masing satu emas dan perak pada edisi 2021 di Vietnam sebelum acara Muay Thai tidak dipertandingkan di Kemboja, dua tahun lepas.

“Sebenarnya sasaran kita di sini hanya satu emas dan kita nak persiapkan pasukan untuk 2027, supaya dapat tambah lagi hingga empat emas waktu kita jadi tuan rumah,” kata Muhammad Shahnaz.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan